AM

TNB pelawa syarikat telekomunikasi jadi penyedia perkhidmatan runcit jalur lebar berkelajuan tinggi

12/12/2019 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengalu-alukan syarikat telekomunikasi  lain yang berminat menjadi penyedia perkhidmatan runcitnya (RSP) bagi jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di seluruh Semenanjung Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ini susulan Perjanjian Akses yang ditandatangani hari ini antara anak syarikat milik penuh TNB, Allo Technology Sdn Bhd, dan anak syarikat milik penuh Maxis Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, untuk menjadi RSP pertama TNB bagi perniagaan HSBB.

Perjanjian hari ini itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha TNB untuk menyokong inisiatif kerajaan bagi menyediakan kesalinghubungan digital di seluruh negara, internet berkualiti tinggi pada harga berpatutan kepada semua rakyat Malaysia menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan (NFCP), katanya.

Amir Hamzah berkata kerjasama dengan Maxis adalah satu perkongsian yang bermanfaat dengan penciptaan nilai bersama bagi kedua-dua syarikat.

“Maxis memberikan komitmennya untuk turut menandatangani perjanjian timbal balik di mana Allo Technology boleh juga memanfaatkan infrastruktur rangkaian Maxis bagi menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan. 

“Pada masa ini, perkongsian TNB dengan Maxis akan bermula di tiga kawasan di mana Allo Technology ketika ini menawarkan perkhidmatannya iaitu di Jasin (Melaka), Cyberjaya (Selangor) dan Bangsar South (Kuala Lumpur),” katanya dalam ucapannya pada majlis menandatangani perjanjian itu, di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata bersama-sama dengan kawasan pelancaran lain yang dirancang di Semenanjung Malaysia, ia akan meliputi lebih daripada 135,000 ‘homepasses’ – satu istilah yang merujuk kawasan kediaman yang dilalui rangkaian gentian TNB.

“Dalam inisiatif NFCP kami, menerusi Allo Technology, kami mempunyai wawasan untuk berkembang ke seluruh Semenanjung Malaysia dengan RSP kami, yang boleh di capai dengan sokongan dan kemudahan kerajaan negeri, seperti yang berjaya ditunjukkan dalam projek perintis NFCP TNB di Melaka.

“Dengan perkongsian bersama Maxis, saya berharap dapat memperluaskan capaian kami untuk mewujudkan impak positif kepada perusahaan dan industri serta menawarkan kesalinghubungan gentian yang boleh dipercayai bagi keperluan perniagaan mereka, bersama dengan RSP kami,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan