Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 4h ago ]

Maszlee tampil menteri pertama bentang 'kad laporan' kementerian

Tarikh kemaskini: 13/12/2019
KUALA LUMPUR, 13 Dis -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi yang pertama membentangkan ‘kad laporan’ pencapaian kementerian bagi tahun 2019.

Dalam satu taklimat dan sidang media khas hari ini, Menteri berkenaan Dr Maszlee Malik membentangkan pencapaian kementerian bertema “Pendidikan Untuk Semua”, yang menyaksikan KPM menutup jendela 2019 dengan lima fokus perubahan besar yang terkandung di dalamnya 53 inisiatif pembaharuan dalam sistem pendidikan negara.

“Tahun 2019 merupakan tahun permulaan kepada semua perubahan dan kita sasarkan tahun ini sebagai tahun penetapan asas yang kukuh untuk memastikan negara boleh bergerak ke arah sistem pendidikan yang inklusif dan berkualiti tinggi,” katanya.

Selaku penerima peruntukan terbesar belanjawan bagi 2019, lima fokus tersebut adalah ‘Mengembalikan Cinta ke Dalam Pendidikan; Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran; Autonomi dan Akauntabiliti; Malaysia Membaca; dan Manifesto.

Dalam kad laporan pencapaian setebal 40 muka surat itu, Maszlee memperincikan butiran pencapaian yang menyentuh segenap aspek pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan negara merangkumi pelajar, guru, infrastruktur, reformasi sistem, reformasi digital, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengajian tinggi dan siswazah, serta menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030.

Turut dbentangkan adalah pencapaian KPM dalam menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

"Masih banyak yang perlu kita lakukan (pembaharuan), dan ini hanyalah permulaan. Apa yang kita lakukan hari ini adalah untuk anak-anak kita di sekolah dan universiti," katanya pada sesi taklimat yang dihadiri ramai petugas media.

Menyentuh Fokus Pertama iaitu Mengembalikan Cinta ke Dalam Bidang Pendidikan, empat kelompok teras yang diberi perhatian adalah Murid Berkeperluan Khas (MBK) yangmerujuk kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), B40, Murid dan Guru.
KUALA LUMPUR, 13 Dis -- Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menunjukkan buku pencapaian Kementerian Pendidikan 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Maszlee berkata 10,200 kelas MBK berjaya diwujudkan di seluruh negara dengan jumlahnya meningkat 526 buah kelas berbanding 9,674 kelas pada 2018. Jumlah MBK secara keseluruhan tahun ini adalah 88,419 orang.

Bagi memastikan kesamarataan peluang pendidikan, kuota 60 peratus diberikan bagi anak-anak B40 belajar di Sekolah Berasrama Penuh. Sebanyak 52.8 peratus kuota ini berjaya diisi.

Laluan khas bagi anak-anak B40 ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Latihan Khas (ILKA) membolehkan 51,191 pelajar melanjutkan pengajian, selain 62 peratus enrolmen Program Matrikulasi dan peruntukan biasiswa khas RM68.1 juta membantu 31,614 anak-anak B40.

Selain daripada memansuhkan peperiksaan bagi semua murid Tahap 1 (merangkumi Darjah 1, 2 dan 3), KPM berjaya memanggil 4,369 murid cicir kembali ke sekolah melalui Program Sifar Murid Cicir manakala 2,636 anak-anak tanpa dokumen berjaya belajar di sekolah-sekolah menerusi ‘dasar sifar penolakan’ KPM.

Tahun 2019 juga menyaksikan KPM berjaya menangani isu berkaitan guru apabila sekurang-kurangnya, 50 peratus beban guru dikurangkan melalui penghapusan sistem Buku Kehadiran Manual dan Linus manakala berkaitan isu guru duka lara, seramai 15,565 guru berjaya bertukar berdasarkan kepada sistem merit yang adil dan saksama.

Bagi Fokus Kedua iaitu Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran, KPM berjaya menyempurnakan lima teras perubahan yang disasarkan iaitu Reformasi Sistem, Reformasi Digital, Peningkatan Pencapaian, Sekolah Daif dan TVET.

Menerusi Reformasi Sistem, Maszlee menjelaskan terdapat enam reformasi dilakukan iaitu menubuhkan Jawatankuasa Kajian Dasar untuk mengesyorkan pembaharuan dalam sistem pendidikan sedia ada dan menyediakan laporan akhir Program Pemantapan Sistem Tadbir Urus dan Pengharmonian Akta Pendidikan Tinggi.

Laporan tersebut akan memastikan segala undang-undang yang menyekat kebebasan pelajar dan para akademia dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang yang lebih adil. KPM juga menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk meneliti isu OKU dan Garis Panduan Pendidikan Inklusif di IPTA.

Katanya satu jawatankuasa khas ditubuhkan bertujuan meneliti semula pendidikan Orang Asli manakala bagi Jawatankuasa Kabinet Pemerkasaan TVET yang melibatkan lima kementerian diwujudkan bagi memastikan penyelarasan dan reformasi TVET dilaksanakan secara menyeluruh.

Seiring cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), Reformasi Digital giat dilaksanakan menyaksikan 10,208 sekolah kini menikmati kelajuan minimum Internet sekurang-kurangnya 30mbps hingga 100mbps selepas KPM berjaya meningkatkan akses Internet dan tiada lagi monopoli pembekal dan penyedia Internet.

Maszlee memaklumkan 40,450 kelas telah menggunakan Google Classroom dan ini melibatkan 32,036 guru dan 364,204 murid di seluruh negara.

Sejumlah 100 Digital Maker Hubs (DMH) diwujudkan di sekolah-sekolah dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sehingga kini.

Menyentuh hal Sekolah Daif, KPM yang sentiasa memberi keutamaan tinggi secara konsisten berjaya menyiapkan sehingga 90 peratus projek sekolah daif, iaitu 452 daripada jumlah keseluruhan 534 sekolah daif kini selamat untuk beroperasi manakala 1,216 makmal sains usang turut diperbaiki.

Seiring dengan penekanan TVET sebagai pilihan utama dan bukan lagi pilihan kedua atau alternatif, beliau berkata Reformasi TVET menyaksikan 96.5 peratus tahap kebolehpasaran kerja graduan TVET tercapai apabila 54,789 daripada 61,510 graduan TVET di negara ini mendapat kerja setelah tamat pengajian.

Turut membanggakan apabila 547 kursus yang ditawarkan KPM diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Engineering Technology Accreditation Council (ETAC), dengan MQA mengiktiraf 216 kursus Politeknik dan 69 (ETAC) manakala bagi Kolej Komuniti, 262 kursus diiktiraf oleh MQA.

Menjelaskan tentang Fokus Ketiga iaitu Autonomi dan Akauntabiliti meliputi pengajian tinggi dan aktivisme siswa, Maszlee berkata antara perubahan dilaksanakan adalah menyediakan peruntukan RM455 juta Geran Penyelidikan bertujuan menyelesaikan masalah masyarakat dan mewujudkan Laluan Khas untuk OKU, atlet, Orang Asli dan B40 berjaya membantu 14,911 pelajar daripada golongan berkenaan memasuki universiti.

Mengiktiraf mahasiswa sebagai tonggak penting pembinaan negara dan memastikan mereka diberi ruang bersuara, Pilihan Raya Kampus di 20 universiti dikelolakan sendiri oleh mahasiswa selain mewujudkan Student’s Union (Kesatuan Pelajar) sebagai wadah aktivitisme siswa dan siswi.

Hasrat menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030 mencatat sejarah tahun ini apabila Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di samping insentif bulanan RM5,000 kepada Sasterawan Negara yang masih hidup bagi menghargai sumbangan mereka kepada sastera tanah air.

Mengakhiri laporan itu, Maszlee berkata kejayaan menunaikan janji manifesto PH dilakukan dengan memansuhkan senarai hitam peminjam PTPTN serta memberikan pelepasan kepada peminjam bergaji bawah RM2,000.

“Dalam masa sama, kita adakan inisiatif sama ada lupus atau diskaun kepada pelajar cemerlang daripada golongan B40 dan M40, termasuk insentif cukai kepada majikan yang membayar hutang PTPTN tanpa memotong gaji pekerja, “ katanya.

Mengenai isu pengiktiran UEC, sebanyak 48 sesi libat urus melibatkan 406 orang berjaya diadakan dan Pasukan Petugas Dasar sedang menyiapkan laporan penuh mengenainya.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu