Pasangan kekasih ditahan disyaki sembunyikan kelahiran, buang mayat bayi [ 3h ago ]

Industri buluh secara kluster bermula tahun hadapan - Teresa Kok

Tarikh kemaskini: 13/12/2019
KOTA KINABALU, 13 Dis -- Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata pembangunan industri buluh secara kluster di negara ini akan dimulakan pada tahun hadapan dengan projek pertama iaitu pewujudan tapak semaian buluh di Taman Industri Perabot Lahat, Ulu Kinta, Perak.

Beliau berkata pembangunan tapak semaian di kawasan seluas 1.7 hektar itu selari dengan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2011-2020 yang mengariskan pembangunan industri buluh secara menyeluruh.

“Selain itu pembangunan makmal tisu kultur pengeluaran benih buluh dan penyelidikan untuk penghasilan sumber pokok buluh induk yang berkualiti dengan anggaran pengeluaran sebanyak 100,000 anak benih buluh sebulan juga sedang dirangka dan dilaksanakan dengan peruntukan awal sebanyak RM6 juta.

“Dengan pengeluaran benih yang mencukupi diharap pembangunan industri buluh dapat dilaksanakan dengan lancar dan lebih banyak pihak akan melibatkan diri dalam pembangunan industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat Industri Buluh: Sumber Ekonomi Baharu, di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Kok berkata sumbangan ekonomi industri buluh Malaysia adalah masih kecil dengan nilai eksport produk pada tahun 2018 hanya RM9.9 juta berbanding dengan saiz pasaran buluh global yang dianggarkan sebanyak US$68.8 bilion setahun.

Sehubungan itu, beliau meminta lebih banyak pihak menceburi industri berkenaan agar industri buluh di Malaysia berkembang maju.

“Sabah adalah salah satu negeri yang sangat sesuai untuk tanaman buluh kerana mempunyai tanah yang luas berbanding negeri lain di Semenanjung. Oleh itu saya berharap ada pihak sama ada kerajaan negeri atau swasta yang akan menceburi industri ini,” katanya.

Sementara itu, Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata kerajaan Sabah sangat mengalu-alukan cadangan membangunkan industri buluh di Sabah.

“Kita telah mengadakan beberapa perbincangan untuk membangunkan industri ini di Sabah dan kerajaan bersedia untuk membuka kilang buluh sebagai galakan membangunkan industri buluh di Sabah.

“Namun kita juga meminta kerajaan persekutuan membantu mengeluarkan peruntukan berbentuk pinjaman untuk membantu para pengusaha yang mahu menceburi industri berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu