AM

Dewan Negara: Jakoa rancang bina 33 projek jalan perhubungan tahun hadapan

16/12/2019 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Sebanyak 33 projek jalan perhubungan luar bandar di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan dibina pada tahun hadapan melibatkan kos RM5.2 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) P. Waytha Moorthy.

Waytha ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 bagi peringkat kementeriannya pada persidangan Dewan Negara berkata empat daripada projek itu akan dilaksanakan di Kelantan, Negeri Sembilan (empat); Pahang (tiga), Perak (15), Selangor (tiga) dan Johor (empat).

“Pada tahun ini sahaja, 41 projek jalan perhubungan telah dibina oleh JAKOA dengan kos berjumlah RM 2.5 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Waytha turut menjelaskan bahawa projek bekalan air alternatif di Kampung Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang siap dibina dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains, Bahagian Bekalan Air, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada bulan lepas dengan penduduk mulai menerima bekalan air terawat bulan ini.

Sementara itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama) Fuziah Salleh memaklumkan seramai 616 orang atau 2.8 peratus daripada 22,000 asnaf telah dikeluarkan daripada kategori penerima zakat kepada pembayar zakat.

Menurutnya secara langsung Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjaya mencapai sasaran Petunjuk Pretasi Utama (KPI) tahun ini iaitu mengurangkan kemiskinan dalam kalangan asnaf antara dua hingga empat peratus.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan