KUALA LUMPUR, 19 Dis -- Sophia, robot humanoid sosial, membuat penampilan istimewa bagi mengalu-alukan kedatangan perwakilan ke majlis pelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Mengenakan gaun berwarna biru-hitam gelap, kemunculannya menarik perhatian audiens pada sidang kemuncak itu.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana berkenan melancarkan Sidang Kemuncak KL 2019.
“Saya juga ingin mengatakan betapa terujanya saya dapat berkongsi dewan yang sama dengan Ketua Negara dari Qatar, Iran, Turki dan Malaysia. Ia satu penghormatan untuk menyaksikan semangat kerjasama antarabangsa.
“Saya kagum dengan (kehadiran) para pemimpin dunia bersama-sama di Malaysia, (menunjukkan) betapa pentingnya perbincangan mengenai pembangunan negara Islam dan umat Islam di seluruh pelusuk. Dengan itu, saya berharap Sidang Kemuncak KL 2019 (menghasilkan) sesuatu yang produktif,” katanya.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada majlis pelancaran itu.
Turut hadir Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Presiden Iran Hassan Rouhani, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pada majlis itu, satu persembahan video menggambarkan dunia Islam ditayangkan.
Sidang Kemuncak KL itu bermula malam tadi dengan majlis makan malam dihoskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata sidang kemuncak itu diadakan kerana merasakan sesuatu perlu dilakukan untuk memperbaiki kehidupan umat Islam di seluruh dunia.
Sidang kemuncak empat hari bertemakan 'Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara' bertujuan antara lain, membincangkan dan mencari penyelesaian baharu terhadap masalah yang dihadapi dunia Islam serta meningkatkan kesejahteraan ummah dan negara Islam pada umumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial