EKONOMI

Edotco Malaysia, Peatalk Corp meterai MoU untuk teroka teknologi 5G

24/12/2019 11:44 AM

KUALA LUMPUR, 24 Dis -- Edotco Malaysia dan Peatalk Corporation (Peatalk) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini untuk bersama-sama meneroka penggunaan teknologi 5G dalam menyokong agenda digital Malaysia.

MoU itu ditandatangani susulan ujian rangkaian yang berjaya dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) bagi meningkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih sehingga 10Gbps kepada  setiap pengguna melalui rangkaian dan infrastruktur swasta 5G, kata kenyataan edotco hari ini.

"Projek LIA menyokong projek demonstrasi 5G Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan inisiatif Airport 4.0 untuk meningkatkan pengalaman menyeluruh di lapangan terbang kepada penumpang dan vendor," katanya.

Syarikat itu berkata ia melaksanakan penyelesaian rangkaian swasta 5G Tetap Tanpa Wayar (FWA) di LIA, membuka jalan untuk menjadi lapangan terbang 5G pertama di Malaysia.

Sementara itu, Peatalk membekalkan teknologi FWA, yang selamat, persendirian, fleksibel dan memberikan lapangan tebang kawalan tunggal ke atas rangkaian, kata edotco sambil menambah bahawa infrastruktur rangkaian neutral akan dapat menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada penyedia perkhidmatan Internet (ISP) ) dan peruncit.

"Peralatan penghantaran gelombang Millimeter dipasang di tiga lokasi - menara edotco Malaysia di Gunung Raya, struktur di LIA dan bumbung terminal lapangan terbang - bagi membawa jalur lebar yang tinggi.

"Peralatan ini dihubungkan ke 19 tapak sel di lapangan terbang, meminimumkan jurang dalam liputan dan menyediakan pengalaman yang konsisten dan lancar," katanya.

Ditubuhkan pada 2012, kumpulan edotco adalah syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi bersepadu serantau pertama di Asia, menyediakan penyelesaian menyeluruh dalam sektor perkhidmatan menara; dari pajakan menara, lokasi bersama, pembinaan, tenaga, penghantaran, operasi dan penyelenggaraan.

Sementara itu, Peatalk yang berpangkalan di AS ialah syarikat teknologi telekomunikasi terkemuka yang menyediakan penyambungan ‘melepasi 5G’ menggunakan teknologi tanpa wayar gelombang mikro milimeter.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan