KUALA LUMPUR, 25 Dis -- Syarikat pemasangan solar Malaysia Plus Solar Systems Sdn Bhd (+SOLAR), yakin sasaran hasil RM150 juta boleh direalisasikan dalam tahun kewangan berakhir Mac 2020 (FY2020), didorong oleh permintaan tinggi daripada syarikat domestik.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama syarikat, Ko Chuan Zhen berkata keyakinan itu adalah bersandarkan kepada peningkatan pendapatan syarikat kepada hampir RM100 juta dalam tempoh lapan bulan pertama FY2020.
"Nyata, sudah banyak kejayaan penting yang kami capai tahun ini, termasuk dua ladang solar yang dibangunkan menerusi Program Skim Solar Berskala Besar (LSS2), yang akan kami operasikan menjelang akhir 2019, yang bermakna kami akan menjalankan dua projek serentak.
"Kami juga telah memasang panel solar potovoltan (PV) dalam pelbagai projek bangunan komersil, dari kilang hinggalah ke pusat beli-belah, termasuk IOI Acidhem, kilang Asadi, Mah Sing Plastics dan Spritzer, pusat beli-belah Toppen dan IKEA shopping mall Batu Kawan," katanya kepada Bernama.
Ko berkata projek itu menjadikan pemasangan + SOLAR kepada 103 bangunan komersil setakat ini.
Sehingga ini syarikat telah membantu lebih 700 bangunan beralih kepada penggunaan tenaga bersih dengan rekod prestasi projek lebih daripada 125MWp, membantu mengurangkan tahap pelepasan karbon negara sebanyak 107,570 tan CO2, yang menjamin visi kelestarian untuk Malaysia menjadi kenyataan.
Latar belakang syarikat
Operasi bermula sebagai firma perundingan solar, Leaf Energy pada 2011, dengan pelaburan RM100, 000 dan pendapatan ketika itu sebanyak RM130,000.
Pada 2013, Ko dan rakan pengasasnya, Ryan Oh Zhi Kang dan Poh Tyng Huei, memutuskan untuk mengembangkan skop mereka di luar khidmat perundingan.
Untuk itu, mereka menubuhkan Plus Solar Systems Sdn Bhd setahun kemudian sebagai syarikat penyelesaian tenaga menyeluruh yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC), dengan pendapatan meningkat sepuluh kali ganda kepada RM1.46 juta.
+ SOLAR membuka cawangan Perak (2019) sebagai langkah strategik untuk menyokong rakan-rakannya di Pantai Barat Semenanjung, yang mendapat permintaan tinggi untuk tenaga PV, terutama dalam sektor perindustrian dan komersil.
"Pembukaan cawangan itu meningkatkan kecekapan dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti perkhidmatan kami. Kami sedang berusaha untuk membangunkan trend ini dan membuka cawangan di negeri lain pada masa akan datang.
"Kami menyaksikan pertumbuhan pendapatan sekurang-kurangnya 20 peratus pada 2020," kata Ko sambil menambah bahawa syarikat itu hanya menjalankan pembangunan projek solar di Malaysia setakat ini.
Usaha sama
Pada Oktober 2019, Plus Solar menjalin perkongsian dengan United Overseas Bank (UOB) untuk program U-Solar, bagi membolehkan akses yang lebih tinggi kepada tenaga boleh baharu untuk rakyat Malaysia.
Ko berkata perkongsian itu bukan sahaja bertujuan memberi manfaat kepada pemilik perniagaan yang berminat memasang sistem PV solar, bahkan untuk memacu negara ke arah memenuhi sasaran gabungan RE (tenaga boleh baharu) sebanyak 20 peratus menjelang 2025.
"Ya, kami juga bekerjasama dengan bank lain. Kami sedang memuktamadkan beberapa perkongsian.
"Ia terdiri daripada HSBC, Ambank, Hong Leong Bank, OCBC dan Public Bank, antara bank yang terlibat dalam kerjasama sejak dua tahun lepas," katanya.
Perancangan masa depan
Untuk masa depan pelan pengembangan +SOLAR termasuk meneroka negara jiran seperti Vietnam, Kemboja dan Myanmar, berikutan sokongan kerajaan ke atas tenaga solar, dan negara-negara ini telah menunjukkan dasar kukuh ke atas solar, kata Ko.
"Menurut laporan Wood Mackenzie Power & Renewables, pasaran PV solar global dijangka meningkat kepada 125GW pada 2020, dan kami mahu menerajui segmen ini sebanyak mungkin.
"Selain itu, peluasan Elaun Cukai Pelaburan Hijau dan Pengecualian Cukai Penghasilan Hijau (GITE) yang dilanjutkan sehingga 2023 dalam Belanjawan 2020, lebih banyak perniagaan akan digalakkan memasang panel PV solar ke bumbung mereka, dan membolehkan kami menyediakan perkhidmatan peribadi,
"Kami menjangkakan dorongan ini pasti akan merangsang permintaan dan menjadikan kami sibuk. Secara semula jadinya ini akan menjuruskan kami ke arah pengembangan perniagaan, dan kami teruja melihat ini berlaku," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial