AM

Gerhana matahari pengaruhi perilaku haiwan

26/12/2019 07:10 PM

JOHOR BAHRU, 26 Dis  -- Gerhana Matahari Anulus atau Gerhana Matahari Cincin yang berlaku hari ini didapati turut mempengaruhi perilaku haiwan.

Pemerhatian sekumpulan pelajar dari Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terhadap reaksi haiwan di Zoo Johor, di sini, semasa fenomena itu, mendapati sekumpulan rusa berada dalam kawanan ketika kemuncak gerhana itu berbanding sebelumnya.

“Ular menjadi pilihan untuk dilakukan pemerhatian kerana sifat haiwan itu yang sensitif terhadap perubahan alam. Berdasarkan pemerhatian, haiwan itu bergerak sekali sekala sebelum waktu kemuncak gerhana dan tidak bergerak pada waktu kemuncak.

Monyet pula dilihat agresif pada sebelah pagi tadi sebelum diam pada waktu kemuncak gerhana,” kata Nur Rabiatuadawiyah Baharul Azidi, 25, seorang daripada lima pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik yang terlibat dalam pemerhatian itu.

Pelajar berkenaan memulakan pemerhatian pada 9 pagi dan kemudian ditumpukan pada waktu kemuncak gerhana kira-kira 1.20 tengah hari sehingga gerhana berakhir 3.20 petang, terhadap haiwan jenis mamalia dan reptilia iaitu sekumpulan rusa, seladang, ular, gajah, harimau, singa serta monyet.

Selain merekodkan pergerakan kesemua haiwan itu, mereka turut merekodkan kelajuan angin dan suhu dengan menggunakan alat anemometer.

Pemerhatian tersebut dilakukan menerusi subjek Falak Syarie di bawah kendalian pensyarah kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM Dr Othman Zainon.

“Seorang daripada kami ditugaskan memerhati pergerakan dan tindak balas sekumpulan rusa dan seekor seladang. Dua orang memerhati dua ekor ular sawa batik, dua ekor ular sawa albino serta seekor ular tedung selar manakala dua lagi memerhati dua ekor gajah, beberapa ekor harimau, singa dan monyet,” kata  Nur Rabiatuadawiyah yang ditemui di zoo berkenaan.

Sementara itu, Othman yang dihubungi berkata sebelum ini beliau dan para pelajar fakulti itu pernah melakukan pemerhatian sama terhadap sekumpulan rusa di universiti itu ketika berlakunya Gerhana Matahari Separa pada 9 Mac 2016.

“Ketika kemuncak Gerhana Matahari Separa itu, sekumpulan rusa didapati panik dan berada dalam kumpulan kawanan mereka. 

“Jadi, kali ini kita mahu melihat perilaku yang sama atau sebaliknya ketika berlakunya Gerhana Matahari Cincin ini,” katanya yang berada di Tanjung Piai bagi menyaksikan fenomena tersebut hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan