EKONOMI

Maxis eKelas meneroka pendidikan 5G di Langkawi

30/12/2019 11:01 AM

LANGKAWI, 30 Dis -- Dalam mempamerkan potensi pendidikan 5G, Maxis mengerahkan penggunaan realiti maya (VR) untuk pembelajaran sains dalam program eKelas untuk sekumpulan pelajar di Pusat Internet Kampung Padang Wahid, Langkawi.

Dalam satu kenyataan hari ini syarikat telekomunikasi itu berkata eKelas merupakan program istimewa Maxis untuk masyarakat yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar luar bandar.

Bayangkan dalam sebuah kelas yang mempelajari  sel haiwan, murid-murid bukan mempelajarinya dengan membaca  buku atau cuba membayangkan rupa bentuk sel dan bagaimana ianya berfungsi, tetapi mereka  melalui pengalaman mendalam untuk melihat bagaimana sel-sel bergerak dan memahami bagaimana bahagian-bahagian yang berbeza itu berfungsi.

Kurikulum dihidupkan dengan membiarkan para pelajar menjelajah bahagian sel haiwan menggunakan tangan dan mereka dilengkapi dengan alat VR dan dibimbing oleh  guru yang berpusat di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata syarikat telekomunikasi itu  sudah melihat kesan kesalinghubungan melalui program komuniti Maxis eKelas yang mengetengahkan pembelajaran digital untuk pelajar di kawasan luar bandar.

"Kini kami mempunyai lebih daripada 13,000 pelajar di seluruh negara yang disambung dengan program ini.  Kami gembira dengan prospek bagaimana 5G dapat meningkatkan lagi program ini  dan membawa eKelas ke peringkat baharu dengan meneroka aplikasi realiti maya, dan kami juga gembira melihat bagaimana terujanya  para pelajar,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata program ini adalah  perkongsian Maxis dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kerana ia dilakukan di Pusat Internet MCMC yang berfungsi sebagai hub digital untuk masyarakat di kawasan yang kurang mendapat perhatian.

Program ini telah diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran sebagai satu inisiatif di bawah program yang sangat meresap, di mana pelajar layak untuk mendapat markah  kokurikulum daripada penyertaan mereka dalam eKelas, katanya.

 -- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan