SUKAN

30 pasukan sahkan penyertaan RLIR 2020 yang bermula esok

06/01/2020 09:47 PM

LANGKAWI, 6 Jan -- Sebanyak 30 pasukan tempatan dan luar negara mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2020 yang akan bermula esok hingga 11 Jan ini. 

Pengurus Besar Royal Langkawi Yacht Club (RLYC), Tayfun Koksal berkata selain Malaysia, 12 lagi negara akan bertanding dalam perlumbaan kapal layar tersebut iaitu Netherlands, China, Britain, Denmark, Austria, Australia, Rusia, Jepun, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom. 

"Pada awalnya, kita terima banyak penyertaan tetapi atas sebab-sebab tertentu tahun ini hanya 30 pasukan yang akan bertanding pada RLIR 2020 esok. Tetapi kita masih gembira dengan sambutan yang diberikan. 

"Semua pasukan juga telah memulakan sesi latihan sejak pagi tadi dan keadaan angin serta cuaca yang baik dijangka dapat membantu pasukan yang bertanding sepanjang kejohanan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

RLIR 2020 yang dianjurkan RLYC akan berlangsung selama lima hari dengan tujuh kategori iaitu Kelas Racing, Kelas IRC 1, Kelas IRC 2, Kelas Sportboat, Kelas Cruising, Kelas Multihull dan Kelas White Sail.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif RLYC Datuk Azlan Abdullah berharap RLIR tahun ini dapat memberi pengalaman dan kenangan yang baik buat para peserta kerana ia merupakan program pertama bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan