LANGKAWI, 9 Jan -- Pusat Latihan Pelayaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menjadi peneraju sukan pelayaran dalam kalangan institusi pendidikan di Malaysia bakal menjadi antara platform terbaik melahirkan lebih ramai pelayar muda negara.
Pegawai Sains Pusat Latihan Pelayaran UMT, Izhar Mohd Mustaat berkata objektif utama pusat latihan yang mula beroperasi 1 Ogos tahun lepas itu bertujuan membudayakan sukan pelayaran di Terengganu terutamanya dalam kalangan pelajar UMT sendiri.
"Pada awalnya saya bersama kakitangan lain hanya bermain kapal layar secara santai di universiti tetapi lama kelamaan pihak atasan UMT melihat ia sebagai sukan yang boleh dibawa lebih jauh. Tambahan pula, di sini kita ada subjek khas dalam silibus pembelajaran yang mengajar mengenai sukan pelayaran.
"Pusat ini turut menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sehingga kini telah melawat beberapa sekolah rendah dan menengah di Kuala Nerus untuk mengajar dan membudayakan sukan pelayaran kepada lebih 200 pelajar," katanya kepada pemberita di Royal Langkawi Yacht Club (RLYC) di sini, hari ini.
Beliau berkata, program itu mendapat maklum balas positif daripada pelajar dan ibu bapa masing-masing apabila lebih 30 pelajar pelbagai peringkat umur masih datang ke kelas untuk mempelajari ilmu sukan pelayaran dengan lebih mendalam.
"Siapa tahu, mereka ini bakal menjadi pelayar muda untuk Terengganu dan suatu hari nanti dapat mewakili negara ke pertandingan bertaraf antarabangsa. Buat masa kini, kita turut membawa beberapa pelajar UMT untuk menyertai beberapa pertandingan kapal layar termasuk Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2020," katanya.
Sementara itu, Ku Anas Ku Zamil yang mengetuai pasukan UMT bersaing dalam Kelas Sportboat berkata RLIR 2020 adalah penyertaan ketiga mereka dan tahun ini lebih 10 pelajar dari Pusat Latihan Pelayaran UMT turut dibawa untuk menimba pengalaman pada kejohanan bertaraf antarabangsa itu.
"RLIR kali ini kita turut dibantu beberapa kru dari Majlis Sukan Negeri Terengganu dan pelajar UMT ini dilatih beberapa bulan sebelum menyertai RLIR. Kita berdepan sedikit kesukaran kerana mereka masih dalam proses pembelajaran tetapi kejohanan ini menjadi platform terbaik untuk memberi pendedahan dalam dunia pelayaran kepada mereka," katanya.
Muhammad Nabihan Nor Wandi, 20, pelajar Jurusan Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim di UMT berkata dia sangat gembira kerana terpilih menyertai RLIR tahun ini dan dapat mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari dalam perlumbaan selama lima hari itu.
"Saya sudah terlibat dalam sukan pelayaran ini sejak dua tahun lepas kerana saya berada dalam Pusat Latihan Pelayaran tetapi RLIR ini acara terbesar yang pernah saya sertai. Ia sangat mencabar kerana perlu mengendali kapal layar dalam keadaan cuaca, angin dan ombak yang kuat.
"Sepanjang lima perlumbaan, semuanya baik dan saya harap pasukan kami dapat buat yang terbaik dengan baki perlumbaan yang ada bagi membolehkan kami menjuarai Kelas Sportboat. Saya juga berharap lebih ramai golongan muda berminat untuk menjadi pelapis dalam sukan ini," katanya.
Sehingga hari kedua perlumbaan semalam, UMT berada di kedudukan ketiga dengan 10 mata penalti manakala pasukan MSA-MSN di tempat pertama dengan lima mata penalti, pasukan Navy 1 di tempat kedua (tujuh mata) dan tempat terakhir adalah pasukan MYGadis dengan 17 mata penalti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial