MARANG, 14 Jan -- Kisah Abdul Raihan Abdul Rahim, bayi malang yang tular di media sosial baru-baru ini kerana menghidap beberapa penyakit mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu yang turun padang menyampaikan bantuan hari ini.
Bayi kepada Abdul Rahim Razak, 26, dan isteri Nurul Suhada Che Mahmud, 25, itu dilahirkan dengan beberapa masalah kesihatan seperti kecacatan dinding abdomen (Major Omphalocele), ginjal dan usus berada di luar badan (Cloacal Exstrophy), kekurangan hormon tiroid (Hypothyroidism) dan pembentukan organ pembiakan lelaki yang tidak sempurna.
Selain JKM Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Ariffin Deraman serta kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) turut menziarahi keluarga bayi malang itu hari ini.
"Terima kasih kepada JKM yang memberi sumbangan susu dan lampin pakai buang serta barangan makanan. Saya dan isteri juga lega apabila dimaklumkan akan menerima bantuan JKM sebanyak RM350 setiap bulan.
"Kami juga ditawarkan bantuan daripada kerajaan negeri melalui Tabung Darul Iman serta Maidam untuk meringankan beban kewangan kami dalam rawatan perubatan bayi istimewa kami ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas kunjungan itu di Kampung Binjai Bongkok di sini hari ini.
Abdul Rahim yang hanya bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM700 sebulan mengakui jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan perubatan bayinya itu apatah lagi mereka turut mempunyai seorang lagi anak iaitu Nurul Auni Safiya yang berusia setahun empat bulan.
Ketika ini, pasangan tersebut perlu membawa Abdul Raihan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dua kali seminggu untuk pemeriksaan susulan.
Sementara itu, Nur Suhada berkata mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan bayi itu dapat membesar dengan sempurna seperti individu normal yang lain termasuk melakukan beberapa pembedahan seperti yang disarankan pakar perubatan.
"Pada hari kedua selepas lahir, Abdul Raihan telah menjalani pembedahan untuk memasukkan ususnya yang terkeluar dan menebuk lubang di bahagian abdomen kerana bayi ini tidak mempunyai dubur.
"Pembedahan seterusnya adalah untuk memasukkan buah pinggang yang terkeluar namun doktor belum menetapkan tarikh yang sesuai dan kemungkinan pembedahan itu akan dibuat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kelantan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial