KUALA LUMPUR, 15 Jan -- Sejumlah 82 individu disyaki pemburu haram ditahan dan 460 unit jerat dimusnahkan dalam Operasi Bersepadu Khazanah tahun lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Mereka yang ditahan itu terdiri daripada 33 rakyat tempatan; 14 warga China; Kemboja (12); Myanmar (enam); Bangladesh (enam); Indonesia (empat); Vietnam (empat) dan Thailand (tiga).
"Kesemua mereka antaranya disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716); Akta Perhutanan Negara 1984; Akta Senjata Api; dan Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor 1980.
"Sepuluh kes dibawa ke mahkamah dengan lima kes telah selesai melibatkan keseluruhan denda sebanyak RM150,000 dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM2.7 juta," katanya pada sidang akhbar sempena mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.
Abdul Kadir berkata operasi bagi tahun 2020 diteruskan bermula hari ini dengan sasaran 23 operasi yang dirancang bagi kesemua sektor untuk membanteras serta membendung jenayah alam sekitar secara berterusan di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata Perhilitan memberi amaran kepada mana-mana individu yang menjalankan kegiatan pemburuan haram hidupan liar dan kegiatan pencerobohan agar menghentikannya atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
"Adalah diharapkan orang ramai akan terus memberi sokongan dan bantuan dengan menjadi mata dan telinga Jabatan Perhilitan serta Polis Diraja Malaysia melalui penyaluran maklumat dalam usaha melindungi khazanah negara supaya tidak diancam kepupusan.
"Semua maklumat boleh disalurkan melalui Perhilitan Hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan melalui web www.wildlife.gov.my," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial