KUALA LUMPUR, 20 Jan -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan 450 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjalani program Penilaian Kesediaan Dasar (RA) Kebangsaan 4.0 (Industri4WRD), yang dibiayai kerajaan, tahun ini.
Tahun lepas, 508 PKS dipilih untuk menjalani program ini daripada 849 permohonan.
Timbalan Menteri MITI Dr Ong Kian Ming berkata program itu bertujuan membantu PKS menilai kesediaan mereka untuk Industri 4.0.
"Kerajaan memperuntuk RM43 juta untuk program berkaitan Industri4WRD termasuk RA, Dana Intervensi, Melatih Jurulatih, Program Latihan Semula serta Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Insentif Industri4WRD hari ini.
Seminar sehari ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran industri terhadap program dan insentif berkaitan Industri4WRD oleh kerajaan, seperti RA, Dana Intervensi, Dana Strategik Pelaburan Domestik dan Elaun Modal Automasi.
Ong berkata apabila selesai RA, PKS digalakkan memohon Dana Intervensi Industri4WRD dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.
Dana itu menawarkan geran padanan 70:30 sehingga RM500,000 untuk PKS melaksanakan strategi intervensi dalam laporan RA masing-masing.
Syarikat digalakkan untuk memohon RA menerusi laman web MITI http://www.miti.gov.my/industry4wrd, bagi memulakan perjalanan transformasi pelaksanaan 4.0 maing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial