EKONOMI

FIM2020 jangka merekodkan potensi pelaburan sebanyak RM450 juta

20/01/2020 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyasarkan nilai potensi pelaburan sebanyak RM450 juta serta lebih daripada 15,000 pengunjung untuk Francais Antarabangsa Malaysia 2020 (FIM2020) dan Sesi Jaringan yang akan diadakan pada April depan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata FIM2019 merekodkan kira-kira RM415 juta dalam potensi pelaburan dan sehingga Disember 2019, pelaburan yang direalisasikan adalah berjumlah RM25 juta.

Francais Antarabangsa Malaysia, dipercayai merupakan pameran francais tahunan terbesar di Asia Tenggara, dianjurkan oleh Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama pihak kementerian. Acara tahun ini dijadualkan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 April.

FIM2020 membawa tema 'Beyond 2020: Towards Digitalising Franchising', mencerminkan cabaran pendigitalan yang dihadapi oleh industri francais di Malaysia dalam memodenkan fungsi sumber manusia, memenuhi tanggapan pelanggan, meningkatkan proses operasi perniagaan dan membangunkan model perniagaan digital.

"Pameran acara francais ini banyak dikuasai oleh segmen makanan dan minuman (F&B), tetapi saya akan berbincang dengan MFA mengenai kepentingan meletakkan sasaran perniagaan untuk segmen perniagaan francais yang lain seperti pakaian dan aksesori, yang juga berpotensi tinggi," katanya kepada pemberita selepas prapelancaran FIM2020 dan Sesi Jaringan di sini hari ini.

Sementara itu, Saifuddin dalam ucapannya berkata pihak kementerian menyaksikan peningkatan yang ketara dalam pendaftaran industri francais Malaysia.

Tahun lepas sahaja, sejumlah 292 pendaftaran telah diluluskan, ini merupakan peningkatan besar berbanding hanya 40 pendaftaran sahaja dalam 2018, 35 pendaftaran pada 2017 dan 32 pendaftaran semasa  2016.

"Trend ini menunjukkan bahawa industri francais di Malaysia kekal sebagai satu tarikan perniagaan yang  kukuh. Kami berharap aliran ini akan meningkat dan berterusan pada 2020. Kementerian mempunyai tanggungjawab yang besar untuk bekerja lebih keras bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk industri francais berkembang maju," katanya

Antara jenama tempatan dan antarabangsa yang telah mengesahkan penyertaan mereka dalam FIM2020 adalah The Manhattan Fish Market, Marrybrown Sdn Bhd, Subway, Old Town White Coffee, TeaLive dan Fuel Shack.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan