AM

Sohom sumbang RM15,000 untuk Sekolah Semangat Maju Taiping

20/01/2020 11:51 PM

TAIPING, 20 Jan -- Persatuan Isteri Wakil Ketua-Ketua Diplomat di Malaysia (Sohom) hari ini menyumbangkan RM15,000 kepada Sekolah Semangat Maju Taiping, di sini untuk menjalankan pelbagai aktiviti.

Cek sumbangan diserahkan oleh Presiden Sohom, Triana Nechytaylo kepada Pengerusi sekolah golongan kurang upaya intelektual, Joseph Lau Tee Sun.

Ketika ditemui di sekolah, Triana, yang juga isteri kepada Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo berkata sumbangan itu bertujuan membolehkan sekolah itu menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat serta membaiki bangunan lama sekolah.

“Kami telah menganjurkan Bazar Amal Antarabangsa 2019 November lepas dan berjaya mengumpul jualan amal kira-kira RM140,000 untuk disalurkan kepada kumpulan yang memerlukan.

“Kami juga menyumbang kepada tujuh institusi yang memerlukan di negara ini dan akan cuba memberi kepada sebanyak mungkin institusi,” katanya dan menambah Kedutaan Poland telah memberi sokongan kepada sekolah itu untuk beberapa waktu.

Sementara itu, Pengetua sekolah berkenaan, Jagjit Kaur berkata pihaknya sangat bersyukur dengan keprihatinan pihak Sohom terhadap nasib anak-anak istimewa di Sekolah Semangat Maju Taiping.

"Kami akan menggunakan wang yang disumbangkan itu dengan memperbaiki keadaan bangunan sekolah ini yang sudah berusia 80 tahun.

Katanya sekolah itu yang telah beroperasi sejak 30 tahun mempunyai lebih 100 pelajar berusia tiga hingga 22 tahun serta mempunyai 10 tenaga pengajar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan