SUKAN

UniKL kekal rekod tanpa kalah saingan LHM

31/01/2020 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan -- Juara Piala Sumbangsih, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengukuhkan cengkaman di persada Liga Hoki Malaysia (LHM) selepas mengatasi pencabar terdekat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) 1 - 0 di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, dekat sini, hari ini.

Kemenangan ketujuh berturut-turut itu menyaksikan skuad kendalian Arul Selvaraj terus menerajui carta liga dengan kutipan 21 mata, berkelebihan lima mata ke atas TNB yang kekal menghuni tangga kedua.

Pada aksi di Bangi, Faridzul Afiq Mohd muncul wira UniKL apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi jaringan padang pada minit ke-25.

Terdahulu, TNB berpeluang menyamakan kedudukan pada suku ketiga perlawanan, namun pemain kebangsaan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi gagal memanfaatkan pukulan penalti strok.

“Tiga mata yang cukup penting buat kami untuk menjarakkan kedudukan dengan TNB, selepas ini kami perlu memberikan lebih tumpuan kepada tingkatkan lagi persembahan kami bagi hadapi aksi berikutnya.

“Persembahan kami hari ini bukan antara yang terbaik, kami perlu lebih tersusun dan juga ketangkasan penjaga gol, David Harte turut membantu kami," jelas Arul.

Naib juara Piala Sumbangsih, Pasukan Hoki Terengganu (THT) turut mengekalkan rentak kemenangan selepas menang bergaya 4 - 1 ke atas Maybank di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun muncul wira THT apabila meledak jaringan hatrik, masing-masing pada minit ke-22, minit ke-43 dan minit ke-48, selain gol padang bekas pemain kebangsaan, Muhammad Rashid Baharom pada minit ke-53.

Maybank pula meraih gol saguhati menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Nur Asyraf Ishak pada minit ke-41.

Sementara itu, pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) meraih kemenangan kedua selepas menundukkan TNB Thunderbolts menerusi kemenangan 4 - 1 di padang satu Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi gol padang Mohamad Syazwan Syafiq Basir seawal minit keempat perlawanan.

Gol tersebut, bagaimanapun, tidak menjejaskan semangat pemain UiTM yang meledak empat gol untuk meraih kemenangan kedua selepas mengatasi wakil Kedah, Nurinsafi di tempat lawan pada 10 Jan lepas.

Pemain import dari Jepun, Miyu Tanimitsu memulakan kebangkitan UiTM menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-17, disusuli gol peribadi kedua hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-26.

Tanimitsu melakar jaringan hatrik setelah menyempurnakan pukulan penalti strok pada minit ke-34, sebelum Danial Asyraf Abdul Ghani mengesahkan tiga mata untuk UiTM hasil gol padang pada minit ke-57.

Nurinsafi pula meraih kemenangan pertama pada musim ini selepas mengatasi pendatang baharu, Hockademy KL menerusi keputusan 5-2 di Stadium Hoki Sungai Petani.

Lima gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Ahmad Ridwan Zainal Abidin pada minit ke-14, Waseem Ahmad (minit ke-18), Mohd Hafizi Ramli (50’ dan 52’), serta pukulan sudut penalti oleh Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi pada minit ke-54.

Dua gol Hockademy KL disumbangkan oleh Harvinder Singh menerusi gol padang pada minit ke-40, serta Baljit Singh Sarjab Singh yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada penghujung babak perlawanan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan