AM

Keputusan KPM tutup sekolah berdasarkan penelitian data dan perbincangan - Radzi

08/10/2020 11:04 AM

KUALA LUMPUR, 7 Okt  -- Sebarang keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan penutupan sekolah dibuat berdasarkan penelitian mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata KPM menghargai saranan dan sedar kegusaran serta kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.

“Saya menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak mengenai keperluan menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan COVID-19.

Kami di KPM sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya malam ini.

Radzi juga berkata kemungkinan terdapat pihak mendakwa KPM seolah-olah lambat membuat keputusan namun hakikatnya ia tidak begitu kerana negara tidak pernah berpengalaman menangani krisis seumpama ini.

“Ianya tidak pernah berlaku. Namun kita (KPM) mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini mengenai pendekatan sesuai dalam keadaan tertentu,” katanya.

Katanya lagi, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas, operasi  institusi pendidikan di bawah KPM tetap berjalan lancar.

"Kita belajar bahawa ketelitian adalah penting dalam melahirkan keputusan yang tepat dan jitu,” kata Radzi.

Mengulas penutupan sekolah di kawasan Klang di Selangor, Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah  bermula esok, beliau berkata keputusan diambil setelah mendapat pengesahan daripada KKM bahawa kawasan terbabit adalah kawasan Zon Merah.

"Sepertimana yang dinyatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya semalam, sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara sekiranya perlu akan dibuat di peringkat sidang khas MKN Mengenai Pengurusan COVID-19  setelah menerima nasihat KKM,” katanya.

Justeru, beliau mengajak semua pihak termasuk rakyat negara ini untuk bekerjasama dalam menangani cabaran pandemik tanpa vaksin ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan