AM

Thailand kesan kluster baharu COVID-19 berkait Pasar Pinggir Bangkok

14/03/2021 07:15 PM

BANGKOK, 14  Mac -- Thailand mengesan satu kluster baharu COVID-19 yang mempunyai kaitan dengan sebuah pasar di pinggir Bangkok.

Menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), setakat ini sekurang-kurangnya 90 individu yang disahkan positif mempunyai kaitan dengan Kluster Pasar Bang Khae yang diarahkan tutup bermula Sabtu (semalam).

BMA juga memperhebat pengesanan kes aktif di pasar itu serta lima lagi pasar berhampiran, iaitu Sirisetthnont, Kitti, Pasom, Wonder dan Talat Mai Bang Khae selain menggesa mereka yang mengunjungi pasar terbabit dalam tempoh 27 Feb hingga 13 Mac menjalani penilaian risiko dan ujian saringan COVID-19 di hospital kerajaan.

Sementara itu dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 170 kes baharu, menjadikan angka kumulatif jangkitan di negara tersebut kini berjumlah  26,927 kes dengan kematian kekal  86 orang. 

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19, daripada jumlah kes baharu itu, 156 merupakan jangkitan tempatan, merangkumi 136 dikesan melalui pengesanan kes aktif dan baki adalah mereka yang mendapatkan rawatan di hospital.

Sebanyak 14 lagi merupakan kes import termasuk tiga dari Malaysia.

Thailand juga dilapor bercadang melonggarkan sekatan yang berkuat kuasa sekarang berikutan penularan gelombang ketiga pandemik itu yang bermula pada pertengahan Disember lepas di sebuah pasar makanan laut di Samut Sakhon, terus menunjukkan perkembangan positif.

 -- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan