KUALA LUMPUR, 12 Okt -- Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengaktifkan semula 155 tangki marmar yang mengalirkan air zamzam selain menempatkan semula 20,000 tong air zamzam mudah alih di seluruh Masjidil Haram, Mekah bermula Isnin.
Penyediaan air zamzam di masjid suci itu dimaklumkan Penolong Pengarah Urusan Teknikal dan Perkhidmatan Hal Ehwal Masjidil Haram Mohammed bin Musleh Al-Jabiri, menerusi perkongsiannya di Twitter.
Menurut jabatan itu, pada kebiasaannya lebih 20,000 tong air zamzam disediakan di Masjidil Haram bagi menampung purata penggunaan yang mencecah 1,633,030 meter padu air setiap hari.
Pertengahan bulan lepas, penyediaan semula sebanyak 600 tong dengan kapasti keseluruhan 30,000 tan air zamzam di seluruh Masjid Nabawi, Madinah sudah pun dimulakan.
Operasi penyediaan air zamzam sebelum ini dihentikan berikutan kebimbangan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji dan umrah di Masjidil Haram serta Masjid Nabawi dan digantikan dengan penggunaan robot pintar untuk mengedarkan air zamzam tanpa membabitkan sebarang sentuhan.
Bagaimanapun, kadar peningkatan penerima vaksin dalam kalangan warga tempatan dan asing di Arab Saudi selain komitmen yang ditunjukkan pengunjung Masjidil Haram dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 membolehkan penyediaan air zamzam disambung semula.
Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan pemberian visa umrah dan permit solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi terhad kepada individu lengkap vaksin COVID-19, berkuat kuasa 10 Okt.
Bagaimanapun, individu yang disahkan diberi pengecualian mengambil vaksin dan berdaftar dengan aplikasi “Tawakkalna”, dibenarkan melawat dua masjid suci berkenaan.
“Mereka yang sudah membuat tempahan dan mempunyai permit untuk menunaikan umrah atau mengunjungi dua masjid suci tetapi belum lengkap divaksin hendaklah mendapatkan suntikan dos kedua dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh ditetapkan dalam permit bagi mengelak pembatalan,” menurut kementerian itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial