AM

KPPK cadang bina 2,000 pusat pemprosesan getah krip

01/12/2021 05:26 PM

KUALA NERANG, 1 Dis -- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bercadang membina 2,000 pusat pemprosesan getah krip di seluruh negara bagi membantu kira-kira 459,000 pekebun kecil getah menjana pendapatan lebih tinggi dengan menjual getah krip.

Menteri berkenaan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata inisiatif itu antara yang dirancang kementerian di bawah program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) yang bertujuan menambah baik pendapatan pekebun kecil.

"Dengan adanya pusat ini, pekebun kecil boleh menghantar ‘cup lump’ (getah sekerap) ke sini dan ia akan dijadikan krip, jadi apabila getah itu sudah jadi krip, nilai lebih tinggi daripada cup lump dan menjana pendapatan lebih tinggi kepada pekebun kecil.

"Proses itu juga akan membolehkan pekebun kecil tidak perlu melalui orang tengah dan pekebun kecil boleh menjual sendiri getah krip itu kepada syarikat-syarikat yang menghasilkan produk berasaskan getah," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Stesen Penyelidikan Getah Sungai Sari, Lembaga Getah Malaysia (LGM) di sini hari ini.

Menurut Zuraida, pekebun kecil boleh meraih pendapatan sehingga RM2,000 sebulan dengan menjual getah krip berbanding RM1,200 ke RM1,300 menjual getah sekerap.

Beliau berkata sebagai permulaan, kementerian menerusi LGM menyasar untuk membina 100 buah pusat itu di Kedah memandangkan negeri ini merupakan antara negeri yang menghasilkan getah tertinggi iaitu 30 peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah negara.

Selain itu, Zuraida berkata pekebun kecil juga disaran supaya menubuhkan koperasi dalam kalangan mereka supaya dapat bekerja secara tersusun dan memudahkan penyampaian maklumat kerajaan kepada mereka.

"Kita akan kenal pasti pekebun kecil untuk bekerja sebagai koperasi, iaitu lebih kurang 100 ke 150 pekebun kecil dalam satu koperasi dan kita akan bina satu pusat pemprosesan krip di kawaaan mereka. Jadi semua pekebun kecil dalam kawasan itu akan hantar cup lump mereka ke pusat itu untuk diproses sebagai krip," katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata proses membawa masuk 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit akan dilakukan secepat mungkin bagi memenuhi permintaan sektor tersebut.

"Dalam tahun depan insya-Allah kita akan bawa masuk pekerja asing kalau keadaan semua baik dan Kementerian Kesihatan benarkan. Selain itu, dulu pun sebelum COVID-19 ada syarikat yang sudah bayar levi pekerja asing itu pun belum masuk. Saya ingat ada dalam 20,000 orang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan