DUNIA

Robot pintar agih air zamzam kembali di Masjidil Haram, Masjid Nabawi

11/01/2022 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan  – Jabatan Tertinggi Bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengaktifkan semula fungsi robot pintar untuk mengagihkan botol air zamzam kepada jemaah dan pengunjung dua masjid suci berkenaan.

Keputusan ini dibuat susulan arahan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di kesemua lokasi bermula akhir bulan lepas.

Timbalan Setiausaha Bahagian Pengairan Zamzam Masjidil Haram, Badr Al-Laqmani, berkata teknologi robot pintar ini mampu mengedarkan 30 botol air zamzam dalam tempoh 10 minit dan ia boleh bekerja sehingga lapan jam tanpa campur tangan manusia.

“Ia berhenti hanya 20 saat untuk mengisi botol”, katanya seperti disiarkan menerusi portal rasmi jabatan berkenaan.

Jelasnya lagi, usaha sedang giat dijalankan untuk membolehkan robot dapat beroperasi secara meluas di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi untuk turut mengendalikan beg dan silinder mudah alih.

“Kami berusaha untuk menyediakan tahap keselamatan dan kualiti tertinggi untuk pengunjung Masjidil Haram,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sebagai langkah berjaga-jaga dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi kecerdasan buatan (AI), pihaknya sedang dalam perancangan untuk membangunkan ‘sensor’ tanpa sentuh pada tangki marmar yang mengalirkan air zamzam di seluruh Masjidil Haram.

Arab Saudi buat pertama kali merekodkan jangkitan harian COVID-19 melebihi 4,000 kes semalam apabila mencatatkan 4,778 kes baharu.

Menurut perkongsian infografik Kementerian Kesihatan Saudi di laman Twitter, dua mangsa dilaporkan maut akibat virus berkenaan dalam tempoh 24 jam, meningkatkan jumlah kumulatif kematian kepada 8,895 kes, di negara yang mencatatkan 583,531 kes jangkitan setakat ini.

Menurut perkongsian sama, seramai 154 pesakit COVID-19 kini berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan