EKONOMI

Expo 2020 Dubai akan tingkatkan hubungan antara pemain industri perkayuan Malaysia-UAE

31/01/2022 09:07 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan -- Expo 2020 Dubai akan menjadi platform yang baik untuk meningkatkan hubungan antara pemain industri perkayuan di Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Mahpar Atan berkata agensi itu merancang untuk mempromosikan gaharu, kayu damar yang wangi, untuk digunakan dalam industri minyak wangi.

Agensi itu juga akan mempamerkan kraf kayu dan ukiran menggunakan teknologi pemotongan laser dalam usaha untuk menarik lebih banyak perniagaan ke sektor ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengetuai penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) menghimpunkan 21 kementerian, lima kerajaan negeri dan 70 agensi untuk mempromosikan lebih 10 industri dengan penyertaan lebih 300 syarikat semuanya ditempatkan di Pavilion Malaysia.

Antara agensi tersebut ialah Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC).

Pavilion Malaysia memaparkan ciri-ciri kanopi yang saling berkaitan dan sungai berliku yang menjadi sebahagian daripada hutan hujan, menurut kenyataan bersama daripada MTIB, MTC dan MTCC.

Antara kayu berharga Malaysia, Meranti, yang digunakan untuk pembinaan pavilion, telah ditaja oleh MTC.

Ia diperoleh di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) - Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan, kata Pengerusi MTC Norrida Yusoff.

Malaysia sentiasa mengiktiraf kepentingan menguruskan sumber hutannya dengan bijak, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030.

Sistem Pengurusan Hutan Lestari telah menjadi sebahagian daripada amalan perhutanan Malaysia sejak 1901.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTCC Siti Syaliza Mustapha berkata peranan majlis itu dalam membangunkan dan mengendalikan skim pensijilan tersebut menunjukkan komitmen Malaysia untuk menghasilkan produk berasaskan kayu daripada sumber mampan dan menepati janji Sidang Kemuncak Rio 1992 untuk memastikan 50 peratus daripada jumlah kawasan tanah kekal di bawah litupan hutan.

Pada masa ini, sebanyak 55.3 peratus daripada kawasan tanah negara kekal di bawah litupan hutan.

“MTCC akan menekankan pencapaian Skim Pensijilan Kayu Malaysia dalam memenuhi matlamat pembangunan mampan di Malaysia dan di peringkat global,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan