EKONOMI

CBP unjur pengeluaran pembiayaan Ar-Rahnu cecah RM350 juta pada 2022

09/02/2022 06:20 PM

PUTRAJAYA, 9 Feb -- Co-opbank Pertama (CBP) menjangkakan pengeluaran pembiayaan Ar-Rahnu pada 2022 mencecah RM350 juta, meningkat 20 peratus daripada angka pada tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata pihaknya optimis unjuran itu boleh dicapai memandangkan pada bulan lepas sahaja, bahagian itu merekodkan jumlah pengeluaran pembiayaan sebanyak RM36 juta.

“Kita akan mempelbagaikan kempen, pemasaran dan memberikan tawaran yang terbaik seperti kadar pembiayaan yang kompetitif untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan khidmat Ar-Rahnu kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis lafaz ikrar integriti warga kerja CBP di sini, pada Rabu.

Beliau berkata CBP turut merancang untuk membuka tujuh cawangan baharu Ar-Rahnu dalam tempoh dua tahun.

Antara cawangan tersebut ada yang akan menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu sahaja dan ada yang memberi perkhidmatan penuh CBP berserta Ar-Rahnu, katanya.

Beliau berkata setakat ini terdapat 29 cawangan yang menawarkan perkhidmatan penuh CBP berserta Ar-Rahnu di seluruh Malaysia.

Terdahulu, dalam majlis itu, sebanyak 60 pegawai tertinggi CBP termasuk anggota lembaga koperasi melafazkan komitmen membudayakan integriti serta menandatangani ikrar bebas rasuah, dengan disaksikan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Zazali Haron dan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan