KLANG, 27 Mei (Bernama) -- Pusat Borong GM Klang (GM Klang) menjalin kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR) bagi mempromosi produk keluaran usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negeri tersebut.
Ini termasuk menawarkan tiga buah lot kedai bagi pameran dan premis runcit produk-produk tempatan PKS Sabah di Tingkat 6, Blok B dan juga di tingkat bawah, Blok A, Pusat Borong GM Klang, seawal Julai 2022.
Pemeteraian perjanjian kerjasama itu pada hari ini telah dilakukan oleh Pengarah DIDR Sabah Tseu Kei Yue dan Pengarah Urusan Pusat Borong GM Klang Datuk Lim Seng Kok dan disaksikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Mengulas usaha itu, Lim berkata GM Klang sentiasa membuka peluang kolaboratif serta kerjasama bagi membawa masuk pelbagai produk terutama produk-produk tempatan ke pusat berkenaan.
“Ini mampu memperluaskan produktiviti tempatan ke peringkat yang lebih tinggi kerana pengunjung-pengunjung GM Klang bukan saja kalangan warga tempatan malah dari negara-negara luar seperti Singapura, Indonesia, Brunei serta Eropah dan Asia Tengah,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini, hari ini.
Menurut Lim, inisiatif itu juga menyebabkan terhasilnya usaha mewujudkan ruang pameran produk-produk negeri dari seluruh Malaysia.
Sehubungan itu, pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada kerajaan-kerajaan negeri untuk mempamerkan produk-produk negeri masing-masing di ruang khusus di Tingkat 6, Blok B GM Klang.
Menurutnya, ruang tersebut menampilkan konsep mudah iaitu pameran produk-produk berserta butiran dan maklumat mengenai pihak terbabit yang perlu dihubungi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial