EKONOMI

Malaysia terus pacu pertumbuhan dalam kewangan Islam Global - S&P Global Rating

16/08/2022 09:44 PM

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan terus menjadi antara pasaran utama untuk memacu pertumbuhan dalam kewangan Islam global dan ini dijangka berterusan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, menurut Standard and Poor’s (S&P) Global Rating.

Ketua Kewangan Islam Global Dr Mohamed Damak berkata aset kewangan Islam global dijangka berkembang sebanyak 10 peratus dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang berdasarkan minat yang tinggi daripada pelabur.

Katanya industri kewangan Islam boleh membuka peluang pertumbuhan dalam tiga bidang utama, iaitu pelarasan pragmatik, penjajaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta pendigitalan, terutamanya untuk sukuk.

“Apabila kita melihat kepada struktur industri, ia tertumpu di negara-negara pengeksport minyak seperti Majlis Kerjasama Teluk dan Malaysia.

“Berdasarkan kenaikan harga minyak dan pemulihan ekonomi pasca pandemik, kami menjangka akan menyaksikan pertumbuhan dalam aset perbankan Islam di negara-negara ini,” katanya kepada Bernama di luar Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2022 (KLIFF) ke-17 hari ini.

Terdahulu, Mohamed menyampaikan pembentangan khas bertajuk, Global Islamic Finance Outlook 2022-2023 di forum itu, yang dihadiri hampir 500 peserta dan peserta pameran, melibatkan ahli perbankan, pelajar, pensyarah, pengarah dan pengurusan tertinggi dari pelbagai negara.

Pada 2021, aset kewangan Islam mencecah US$2.5 trilion (US$1=RM4.47), tidak termasuk Iran, didorong terutamanya oleh pertumbuhan aset perbankan dan terbitan sukuk.

Mohamed berkata tumpuan industri di negara-negara pengeksport minyak selain urus niaga dan standard yang rumit, bagaimanapun, menjejaskan minat pelabur dan menghalang industri daripada berkembang dengan ketara di luar kawasan asalnya.

Mengenai sukuk, Mohamed berkata terbitannya dijangka tidak akan pulih pada tahun ini dan pertumbuhan dijangka perlahan kepada US$130 bilion daripada US$147.4 bilion pada 2021.

Jumlah terbitan sukuk pada separuh pertama tahun ini merosot kepada US$74.5 bilion daripada US$93.3 bilion dalam tempoh sama pada tahun lepas, katanya.

“Kami percaya kecairan global yang berkurangan, kerumitan yang meningkat berkaitan standard kawal selia dan keperluan pembiayaan yang rendah dalam beberapa pasaran kewangan Islam teras akan menjejaskan terbitan untuk baki tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan