3,292 USAHAWAN MIKRO DILATIH DI BAWAH INSKEN SETAKAT OGOS LEPAS
KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Seramai 3,292 usahawan mikro telah dilatih serta dibimbing oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sehingga Ogos 2022.
INSKEN dalam kenyataan hari ini memaklumkan sejak awal tahun ini, institut itu berjaya menjalankan 67 kolaborasi strategik melalui pelaksanaan program bimbingan dan latihan kepada usahawan mikro di bawah kawal selia Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
“INSKEN dan AIM yakin serta percaya bahawa usaha untuk membantu usahawan akan memberi impak yang lebih besar sekiranya ia mendapat kerjasama serta sokongan dari pelbagai pihak melalui jalinan kolaborasi.
“Kedua-dua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini juga komited untuk terus menghulurkan bantuan kepada usahawan melalui pelbagai program latihan serta bimbingan yang telah dirancang dan akan dilaksanakan pada 2022,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
MALAYSIA AIRLINES, MHHOLIDAYS LANJUT TAWARAN ONLINE MATTA HINGGA 11 SEPT
KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Malaysia Airlines dan cabang operasi pelancongannya, MHholidays, melanjutkan tawaran secara dalam talian Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2022 hingga Ahad ini (Sept 11).
Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa lanjutan itu akan membolehkan pelancong terus menikmati penjimatan luar biasa dari segi tambang dan faedah lain yang berbaloi serta pakej percutian untuk perjalanan segera hingga 12 April 2023.
Menurut kenyataan itu, pelanggan boleh menikmati diskaun Pameran MATTA sehingga 45 peratus tambang penerbangan ke semua rangkaian domestik dan antarabangsa terpilih dari destinasi di Asia seperti Singapura, Bali, Bangkok dan Phuket; Asia Selatan terutama Kochi, Bengaluru dan banyak lagi serta Asia Timur khususnya Seoul.
“Turut ditawarkan destinasi popular di rantau Australasia seperti Auckland, Adelaide, Brisbane, Perth, Melbourne dan Sydney,” katanya.
-- BERNAMA
BULAN SABIT MERAH MALAYSIA RAYU DERMA BANTUAN BANJIR MONSUN PAKISTAN
KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) merayu kepada semua pihak untuk menderma dan menyokong usahanya bagi membantu rakyat Pakistan yang terkesan akibat Banjir Monsun yang melanda negara itu baru-baru ini.
Pengerusi Kebangsaan BSMM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dalam kenyataan hari ini berkata kemusnahan akibat banjir di Pakistan itu amat membimbangkan dan tindakan pantas perlu diambil untuk menyelamatkan nyawa serta menyokong mereka yang memerlukan bantuan.
Sumbangan dalam bentuk cek atau draf bank atau pemindahan bank ke Tabung Bantuan Banjir Monsun BSMM-Pakistan boleh dihantar ke No Akaun Bank 5144 2210 2657 (Maybank) atas nama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.
-- BERNAMA
ZAKRI ABDUL HAMID SERTAI UNIVERSITI UCSI
KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Felow Pengasas Majlis Sains Antarabangsa Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid telah menyertai Universiti UCSI sebagai Pengarah Pengasas bagi Institut Antarabangsa bagi Diplomasi Sains dan Kelestarian.
Menurut kenyataan Universiti UCSI, Zakri adalah Pengerusi Bersama Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi dan Felow Kanan Akademi Sains Malaysia.
“Beliau juga adalah Penyandang Kelima Kursi Tun Hussein Onn dalam Pengajian Antarabangsa di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia selain bekas Penasihat Sains kepada Perdana Menteri dan Ahli Lembaga Penasihat Saintifik kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial