JOHOR BAHRU, 22 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mempertimbangkan untuk menubuhkan Federasi Koperasi Pusat Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata cadangan menubuhkan federasi di IPTA dan IPG di negara ini di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu sebagai langkah memupuk budaya usahawan dalam kalangan diri mahasiswa dan bakal pendidik.
"Di seluruh negara sudah ada 14,000 koperasi. Dulu saya cadangkan tubuhkan koperasi sekolah, mungkin kita boleh timbangkan untuk menubuhkan federasi koperasi di IPG dan IPTA. Ini bermakna kita dapat gabungkan koperasi di pusat pengajian tinggi termasuk di IPG.
"Bila kita tubuhkan di peringkat IPTA dan IPG, pelajar-pelajar ini akan ada satu kumpulan yang mereka berpeluang bertukar fikiran, berbincang, merancang macam mana nak selaraskan aktiviti koperasi ini kerana bidang koperasi bukan kedai runcit sahaja, ada berbagai-bagai bidang keusahawanan yang boleh kita sertai," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Makan Malam Anak Seri Temenggong, IPG Kampus Temenggong Ibrahim di sini malam tadi.
Bulan lepas, Noh dilaporkan berkata akan menubuhkan sebuah Federasi Koperasi Sekolah sebagai langkah memperkasakan fungsi dan pergerakan koperasi itu di seluruh negara, yang akan dianggotai 2,463 koperasi sekolah rendah dan menengah.
Sehubungan itu, beliau berkata cadangan untuk menubuhkan federasi di pusat pengajian terutama di IPG dilihat sebagai satu platform atau landasan untuk 'melatih' pelajar bukan sahaja ciri-ciri usahawan tetapi juga pemimpin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial