EKONOMI

11 syarikat Malaysia sertai misi pemecutan eksport ke China secara maya - MATRADE

14/11/2022 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Sebanyak 11 syarikat Malaysia akan menyertai misi pemecutan eksport (EAM) ke China secara maya pada 16-17 Nov, 2022, anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan SME Bank.

Dalam kenyataannya, MATRADE berkata ini juga sebagai kelangsungan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk pulih dalam tempoh pasca-pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata kerjasama strategik itu memaparkan kepentingan sinergi dalam ekosistem perdagangan bagi memperkukuh daya saing perdagangan Malaysia seperti disarankan oleh Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp).

EAM merupakan platform alternatif yang boleh digunakan oleh syarikat Malaysia bagi menembusi pasaran, memanfaatkan penglibatan pemain pasaran berprofil tinggi dan berkualiti yang mencari peluang perniagaan baharu.

Pada masa sama, MATRADE akan terus mewujudkan serta memanfaatkan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian, agensi dan persatuan industri perdagangan dalam melaksanakan program-program berkaitan eksport untuk menghasilkan lebih banyak peluang bagi masyarakat perniagaan.

“Ini adalah inisiatif keempat MATRADE bagi tahun ini menerusi kerjasama strategik dengan KUSKOP dan SME Bank bagi membantu PKS Malaysia dalam aktiviti eksport selain menceburi pasaran sasaran baharu dan menjadikan China sebagai salah satu destinasi pilihan eksport," katanya.

China yang juga antara destinasi eksport utama Malaysia, juga menawarkan peluang peniagaan yang besar bagi perniagaan membabitkan pelbagai industri, kata MATRADE.

Perdagangan Malaysia dengan China telah meningkat 18.5 peratus kepada RM360.56 bilion dalam tempoh Januari-September 2022 berbanding sembilan bulan pertama pada 2021.

Eksport pula meningkat 13.4 peratus kepada RM155.45 bilion didorong oleh peningkatan eksport produk elektrikal dan elektronik, gas asli cecair serta bijih logam dan logam sekerap manakala import China menokok 22.7 peratus kepada RM205.11 bilion.

MATRADE berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pejabat di Beijing bagi menganjurkan sesi padanan perniagaan secara maya yang membabitkan pengeksport Malaysia dan bakal pembeli untuk mengenal pasti lebih banyak peluang perdagangan dengan China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan