DUNIA

Kes pembunuhan Khashoggi: Putera Arab Saudi ada imuniti - AS

18/11/2022 06:21 PM

ANKARA, 18 Nov (Bernama) -- Pentadbiran Presiden Joe Biden pada Khamis berkata Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman mempunyai kekebalan daripada tindakan undang-undang berhubung pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018.

Dalam hujah di mahkamah lewat Khamis pentadbiran AS berkata Mohammed bin Salman ialah "ketua kerajaan" Arab Saudi dan beliau "kebal daripada saman ini" berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Pentadbiran AS mengemukakan pengisytiharan kekebalan berdaulat kepada mahkamah persekutuan di Washington yang mendengar tuntutan mahkamah yang difailkan tunang Khashoggi, Hatice Cengiz dan Democracy for the Arab World Now (DAWN), kumpulan hak asasi diasaskan Khashoggi, berhubung peranan putera itu yang didakwa terlibat dalam pembunuhan yang berlaku di Istanbul, Türkiye.

Putera Arab Saudi itu berulang kali menafikan penglibatannya dalam pembunuhan itu. Pendapat pentadbiran Biden itu tidak mengikat hakim dalam kes itu yang mempunyai suara muktamad dalam membuat keputusan.

Jamal Khashoggi dibunuh di dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2018 dan mayatnya dikerat. Jasadnya tidak ditemukan.

AS dalam jawapan bertulis kepada Mahkamah Daerah Colombia yang salinannya diperoleh Agensi Anadolu berkata: “Jabatan Negara mengiktiraf dan membenarkan kekebalan Perdana Menteri Mohammed bin Salman sebagai ketua kerajaan negara asing."

Biden, selepas mengambil alih jawatan Presiden, mengisytiharkan beliau akan membawa pelaku pembunuhan Khashoggi ke muka pengadilan.

Namun, sejak konflik Rusia-Ukraine Februari lepas, Barat berada dalam tekanan untuk menurunkan harga tenaga akibat pemotongan bekalan oleh Moscow ke Eropah.

Biden menghadapi masalah politik pada Julai apabila pemerintah Arab Saudi enggan menambah  pengeluaran minyaknya.

Kekebalan berdaulat dalam undang-undang antarabangsa menyebut bahawa kerajaan dan pegawai mereka kebal daripada beberapa prosedur undang-undang di mahkamah domestik negara asing yang lain.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan