EKONOMI

MCMTC saran satu agensi kendali proses pengambilan pekerja asing

25/12/2022 11:20 AM

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) bersetuju dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) agar satu agensi sahaja mengendalikan keseluruhan proses pengambilan pekerja asing untuk memastikan kejelasan, ketelusan dan kecekapan yang lebih tinggi.

Presiden MCMTC Callum Chen berkata Malaysia mempunyai populasi yang kecil dan banyak industri masih berintensif buruh dan bergantung kepada tenaga kerja asing.

“Setakat ini, memohon dan mendapatkan tenaga kerja asing memerlukan banyak masa, usaha dan kos untuk berurusan dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Dalam Negeri (KDN),  Jabatan Tenaga Kerja di bawah KSM dan bagi mereka dalam bidang pembuatan melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Februari 2022, pengurusan pekerja asing telah diserahkan kepada KSM daripada KDN.

Sementara itu, kerajaan perpaduan pada 21 Dis 2022 mengumumkan Sistem Satu Saluran (OCS) untuk menggaji pekerja domestik (pembantu domestik/rumah) ditempatkan di bawah KSM dan Pusat Sehenti (OSC) bagi pengurusan pengambilan pekerja asing di bawah KDN.

Chen berkata persoalan yang timbul di fikiran susulan pengumuman itu ialah mengapa wujud keperluan untuk melibatkan pelbagai kementerian, dengan pelbagai penyerahan dokumen.

“Adakah terdapat penambahbaikan dalam sistem atau lebih banyak kekeliruan? Boleh tak kita  mempunyai satu kementerian dengan satu sistem dalam talian yang telus dan mudah digunakan?” soal beliau.

KSM ialah organisasi payung yang menyelia perancangan, pengurusan dan pembangunan sumber tenaga kerja Malaysia, justeru, ia menjadi kementerian yang sesuai untuk menguruskan pengambilan serta pengurusan pekerja, kata kenyataan itu.

KDN mengawal hal ehwal imigresen seperti pengeluaran permit kerja.

FMM baru-baru ini menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk membahagikan peranan pengurusan pekerja asing antara KDN dan KSM.

Ia berkata keseluruhan pemprosesan permintaan buruh mesti dikendalikan oleh KSM manakala KDN perlu memberi tumpuan kepada isu keselamatan, pengeluaran visa yang berkaitan serta langkah kawalan sempadan seperti yang dilakukan di negara lain yang mempunyai pergantungan yang sama kepada pekerja asing untuk melengkapkan keperluan tenaga kerja negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan