DUNIA

Jordan negara Arab paling kurang terkesan akibat kenaikan harga makanan - Bank Dunia

27/12/2022 03:37 PM

AMMAN, 27 Dis (Bernama) -- Laporan Bank Dunia baru-baru ini mendapati Jordan menjadi negara Arab paling kurang terkesan dengan inflasi global akibat kenaikan harga makanan iaitu pada kadar 3.5 peratus, lapor Petra.

Jordan mendahului negara seperti Libya, Oman, Arab Saudi, Qatar, Iraq, Kuwait, Bahrain, Algeria, Tunisia, Mauritania, Maghribi dan Mesir.

Sementera itu, Lubnan berada di tempat pertama dari segi inflasi harga makanan dengan kadar 203.2 peratus.

Keselamatan makanan menjadi keutamaan di Jordan menerusi beberapa strategi yang diperkenalkan termasuk Strategi Negara untuk Keselamatan Makanan (2021-2030) sebagai tambahan kepada Rancangan Negara untuk Pertanian Mampan (2022-2025).

Strategi itu selaras dengan arahan Raja Jordan Raja Abdullah untuk menjadikan negara ini sebagai hab serantau untuk keselamatan makanan.

Menurut Dewan Perniagaan Jordan, negara ini mengimport makanan bernilai kira-kira AS$4 bilion setiap tahun, sebahagiannya terdiri bahan mentah bagi industri dan selebihnya produk sedia untuk dimakan.

Bank Dunia menyatakan harga makanan menurun pada suku ketiga 2022 tetapi mengikut piawaian harga dijangkakan kekal tinggi

Indeks harga makanan Bank Dunia jatuh 12 peratus pada suku ketiga 2022 (setiap suku tahun) selepas mencapai paras tertinggi pada April tetapi kekal hampir 20 peratus lebih tinggi berbanding setahun yang lalu.

Harga makanan masih tinggi disebabkan penurunan nilai mata wang tempatan dan harga tersebut dijangka akan menurun sebanyak lima peratus pada 2023 sebelum kembali stabil pada 2024.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan