DUNIA

Lebih 4.8 juta umat Islam tunai umrah setakat ini - Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi

15/02/2023 06:09 PM

MAKKAH, 15 Feb (Bernama) -- Lebih 4.8 juta umat Islam telah menunaikan umrah di Makkah, Arab Saudi sejak musim umrah bermula pada 1 Muharram 1444 Hijrah bersamaan 30 Julai 2022.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MOHU) menerusi laporan statistik yang dikeluarkan hari ini menyatakan sejumlah 4,840,764 jemaah umrah telah tiba di negara itu setakat ini.

Daripada jumlah itu, seramai 4,258,151 jemaah antarabangsa telah kembali ke tanah air masing-masing sementara 582,613 lagi masih berada di negara berkenaan setakat Selasa.

“Daripada jumlah keseluruhan ketibaan, sebanyak 4,329,349 ketibaan melibatkan jemaah menggunakan laluan udara, manakala 507,430 ketibaan jemaah laluan darat,” katanya.

“Hanya 3,985 pergerakan jemaah direkodkan menerusi laluan laut,” menurutnya lagi seperti yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA).

MOHU baru-baru ini telah mengumumkan umat Islam yang memiliki visa lawatan peribadi, ziarah dan pelancongan termasuk jenis lain yang membenarkan kemasukan ke Arab Saudi, boleh mengerjakan ibadah umrah, melakukan ziarah dan menunaikan solat di Raudhah selepas membuat tempahan slot melalui aplikasi “NUSUK”.

Tempoh visa umrah turut diumum dilanjut ke 90 hari berbanding 30 hari sebelum ini bagi kemasukan ke negara itu melalui jalan darat dan udara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan