SHAH ALAM, 17 April (Bernama) -- Pusat borong, GM Klang menyerahkan sumbangan berjumlah RM8,000 kepada Rumah Amal Kasih Bestari yang merupakan sebahagian hasil jualan berjumlah lebih RM40,000 yang diperoleh melalui program ‘Jualan Amal Istimewa Rioooh Raya 2023’.
Sumbangan itu diserahkan oleh Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman selaku wakil syarikat, semasa berlangsungnya majlis ‘Iftar Jalinan Kasih Yayasan Kita Anak Malaysia’ anjuran bersama Yayasan Kita Anak Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sabtu lepas.
Program jualan itu adalah hasil kolaborasi antara GM Klang dengan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam yang dijayakan pada 7 hingga 9 April lepas di ruang legar tingkat bawah GM Klang.
Norsuhaida berkata kira-kira 40 pelajar mengambil bahagian dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu yang mengendalikan 19 rerurai yang menjual pelbagai produk raya daripada 19 pemborong GM Klang sendiri yang turut serta dalam program berkenaan seperti baju raya, beg, aksesori fesyen, telekung, kuih raya, kasut, tudung dan banyak lagi.
“Secara tidak langsung, para pelajar ini telah didedahkan oleh para pemborong GM Klang dengan ilmu perniagaan seperti strategi jualan dan promosi serta komunikasi dengan para pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata diharapkan sumbangan kepada Rumah Amal Kasih Bestari sedikit sebanyak dapat membantu para penghuni rumah tersebut yang juga antara rumah anak yatim yang memiliki bilangan penghuni paling ramai iaitu lebih 200 anak yatim.
GM Klang dan UiTM mula berkolaborasi sejak 2018 dengan pelbagai program yang memanfaatkan peluang dan pengalaman berharga kepada para pelajar universiti tersebut.
Katanya, Jualan Amal Istimewa yang julung kalinya diadakan itu berjaya membuahkan hasil apabila menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari program tersebut malah kedua-dua pihak berhasrat untuk meneruskan program sebegini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial