EKONOMI

Masa Sambut Baik Dana Dicadangkan Mot, Sokong Industri Perkapalan Ke Arah Penyahkarbonan

06/09/2023 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (Masa) menyambut baik pendekatan proaktif kerajaan yang mencadangkan dana untuk membantu industri perkapalan Malaysia dalam peralihan kepada industri yang lebih hijau dan bersih.

“Dana ini akan memberikan manfaat kepada syarikat perkapalan berikutan peraturan lebih ketat yang dilaksanakan di seluruh dunia seperti Indeks  Indeks Kapal Sedia Ada Kecekapan Tenaga dan Indikator Keamatan Karbon yang akan berkuat kuasa pada Januari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Pengangkutan dalam sidang meja bulat yang dianjurkan oleh Majlis Perkapalan Kebangsaan Malaysia dan Perbadanan Produktiviti Malaysia semalam mencadangkan dana pinjaman kepada operator syarikat perkapalan domestik diteruskan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada bulan depan.

Sementara itu, Masa turut menegaskan kepentingan untuk melaksanakan dasar yang komprehensif dengan mengutamakan kepentingan perniagaan di samping mengurangkan kebergantungan kepada perkapalan asing.

Menurutnya, langkah ini penting untuk memulihkan Malaysia daripada statusnya sebagai pengimport bersih perkhidmatan pengangkutan yang menyebabkan defisit sebanyak RM33.8 bilion pada 2022.

Pada tahun ini, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) telah membangunkan Strategi Gas Rumah Hijau yang disemak semula, dengan menyasarkan pelepasan GHG sifar bersih menjelang 2050, katanya.

Persatuan itu berkata dana yang dicadangkan itu disambut baik memandangkan kumpulan maritim menantikan beberapa hala tuju dasar daripada kerajaan yang akan terus membantu mereka menerusi sebarang pendekatan.

Sebagai sebuah negara maritim dan ahli majlis IMO, Masa berkata Malaysia perlu menetapkan dasar yang munasabah dan membantu penggiat domestik untuk kekal berdaya saing di rantau ini dan di peringkat global.

Sebagai kaedah pengangkutan utama yang menyumbang sebanyak 85 peratus daripada perdagangan global, perkapalan penting untuk membolehkan ekonomi moden menjalankan peranan, katanya.

“Persatuan akan terus membantu kerajaan untuk menetapkan dasar dan inisiatif dengan menggunakan pelbagai platform seperti Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan dan libat urus langsung dengan agensi kerajaan,” kata Masa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan