KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mempelawa kalangan komuniti perniagaan pelbagai sektor untuk mengambil bahagian dalam inisiatif program ‘Productivity Step-Up.’
MPC menerusi kenyataannya hari ini berkata, usaha itu juga sejajar dengan kepentingan produktiviti di serata industri selain penekanan untuk memanfaatkan kuasa teknologi dan pendigitalan bagi melonjakkan produktiviti dan memupuk inovasi.
“Kita yakin dengan meningkatkan lagi produktiviti, Malaysia dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam landskap industri yang sentiasa berubah dan sebagaimana disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP),” kata Timbalan Ketua Pengarah MPC Zahid Ismail.
Beliau berkata program tersebut juga merupakan satu inisiatif komprehensif bagi memperkasa perniagaan berkaitan pembuatan, perkhidmatan dan pertanian.
“Ini dijangka melibatkan lebih 1,000 syarikat dengan menyasarkan peningkatan ketara sebanyak 5-10 peratus dalam petunjuk prestasi utama seperti produktiviti, kualiti, kos, penyampaian, keselamatan, moral dan alam sekitar, sekali gus menonjolkan dedikasi MPC untuk meningkatkan produktiviti sambil menerimaguna transformasi digital," katanya.
Zahid juga menyifatkan inisiatif MPC yang melibatkan komuniti perniagaan merangkumi usahawan dan pihak berkepentingan meningkatkan proses perniagaan, sebagai membuktikan komitmen MPC membantu negara untuk muncul antara 12 teratas dunia dalam Ranking Daya Saing Dunia menerusi usaha pendigitalan strategik.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial