AM

Mains Agih Lebih Rm125 Juta Zakat Sejak Januari Hingga Oktober

21/12/2023 06:28 PM

SEREMBAN, 21 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah mengagihkan sejumlah RM125.68 juta kutipan zakat sejak Januari hingga Oktober lepas, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir.

Beliau berkata zakat diagih kepada asnaf yang terdiri daripada fakir, miskin, mualaf, ibnu sabil, fisabilillah, amil dan gharimin.

“Agihan lain meliputi bantuan hemodialisis, pendidikan, kewangan dan perubatan kepada asnaf dan orang ramai yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Syarikat Korporat di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata pada majlis itu, MAINS menerima RM1,041,696 daripada tujuh syarikat korporat iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agrobank, Telekom Malaysia Berhad, MBSB Bank Berhad, Dermaga Sari Holdings Sdn Bhd, Koperasi Permodalan dan Perusahaan Melayu Negeri Sembilan serta Omni Oil Technologies.

“Zakat merupakan satu kaedah ekonomi terpenting dalam pandangan hidup Islam. Zakat merupakan kewajipan yang dikeluarkan pada harta orang yang memiliki kelebihan dan dapat menyucikan harta. 

“Saya rasa gembira dan bersyukur atas penganjuran majlis ini, ia sebagai satu tanda penghargaan kepada pembayaran zakat syarikat-syarikat korporat yang diserahkan kepada pihak MAINS,” katanya.

Dalam pada itu, MAINS menyediakan 12 kaunter kutipan zakat MAINS yang beroperasi hari setiap hari sepanjang bulan ini bagi memudahkan semua pihak melaksanakan kewajipan zakat melalui pelbagai saluran yang disediakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan