EKONOMI

Misi Pelaburan Miti Ke Singapura Raih Fdi Komited Rm2.8 Bilion

12/01/2024 01:17 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Misi pelaburan sehari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ke Singapura meraih pelaburan langsung asing (FDI) komited bernilai RM2.8 bilion daripada dua syarikat.

Dalam kenyataan hari ini, menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Equinix Inc membantu organisasi mempercepatkan kelebihan daya saing dalam pemboleh ubah digital termasuk awan, rangkaian, storan, pengkomputeran dan perisian.

Syarikat infrastruktur digital global itu mempunyai 52 pusat data di 13 bandar di rantau Asia Pasifik, termasuk Australia, China, Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan dan Singapura. 

Equinix merancang untuk membuka pusat data di Johor dan Kuala Lumpur untuk menyediakan platform yang saling berkaitan untuk menawarkan akses kepada rangkaian antarabangsa dan serantau yang menghubungkan Asia Pasifik, katanya.

Tengku Zafrul turut bertemu wakil daripada syarikat pengeluar makanan global yang mempunyai operasi di Malaysia. 

Syarikat itu merancang untuk mengembangkan dan mempelbagaikan portfolio produknya dan akan mewujudkan kemudahan dengan barisan pembuatan termaju, dijana oleh pemboleh ubah Industri 4.0 seperti Internet of Things (IoT) dan robotik untuk pengeluaran bahan makanan bersepadunya.

“Syarikat ini telah memilih Malaysia sama ada untuk menubuhkan atau mengembangkan perniagaan mereka.

“FDI komited bernilai RM2.8 bilion itu menjadi satu lagi pengesahan usaha Malaysia dalam memudahkan perjalanan pelabur dan merealisasikan pelaburan mereka.

“MITI, bersama agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), akan menjadi lebih strategik dalam menarik pelaburan yang sesuai daripada aliran masuk yang meningkat ke ASEAN.

“Pelaburan ini bukan sahaja perlu mengembangkan ekonomi kita tetapi juga perlu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita dan mewujudkan pekerjaan untuk rakyat,” katanya.

Menurut MITI, Singapura melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya maju atas pelbagai faktor, termasuk kedaulatan undang-undangnya, lokasi serantau yang strategik, tenaga kerja yang boleh dilatih dan kedudukan penting dalam banyak rantaian bekalan serantau dan global.

Katanya antara Januari dan September 2023, projek pelaburan dari Singapura bernilai RM20.4 bilion telah diluluskan, menjadikannya sumber FDI kedua terbesar.

Misi pelaburan itu merupakan pencapaian penting untuk merealisasikan matlamat Malaysia menjadi hab inovasi global berteknologi tinggi dengan ekosistem pelaburan yang berdaya tahan dan mampan, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan