> BERITA

Melaka Peruntuk RM88 Juta Laksana Projek, Program Pembangunan Tahun Ini

08/02/2025 09:51 AM

MELAKA, 8 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM88 juta pada tahun ini, bagi melaksanakan projek dan program pembangunan yang memberi impak positif ke arah memperhebat pembangunan negeri.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pelaksanaan projek dan program pembangunan itu juga bakal membawa manfaat pada pertumbuhan sosioekonomi rakyat seiring tema Bajet Kerajaan Negeri Melaka 2025, iaitu “Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang”.

Beliau berkata Melaka juga telah menerima peruntukan daripada kerajaan Persekutuan melibatkan beberapa projek mega antaranya pembinaan pusingan U bertingkat dan direct u-turn dari persimpangan Pulau Gadong hingga persimpangan Taman Cheng Perdana.

"Selain itu, peruntukan yang diterima turut melibatkan pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral, balai polis baharu di Tanjung Minyak dan Lebuh Raya WCE bagi jajaran Banting ke Gelang Patah melalui pendekatan perkongsian awam-swasta.

"Bergerak ke hadapan, sebenarnya banyak lagi projek pembangunan yang sedang kerajaan negeri rancang dan perincikan khususnya mengambil kira kesejahteraan semua golongan rakyat termasuk petani, pekebun kecil, peniaga, nelayan dan pekerja industri," katanya di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pembangunan Negeri Melaka 2025 yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata sebanyak 2,205 projek dan program pembangunan melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM392 juta telah disiapkan jabatan dan agensi kerajaan negeri di Melaka dari 2020 hingga 2024.

Beliau berkata Melaka juga berjaya mencatatkan prestasi perbelanjaan pembangunan secara konsisten, iaitu mencapai 90 peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut sekali gus meletakkan negeri itu pada landasan yang tepat dalam membangunkan negeri lestari.

"Saya percaya, semua projek dan program pembangunan yang berjaya disiapkan ini cukup signifikan pada pulangan kemakmuran dan kestabilan khususnya sektor pembangunan negeri agar sentiasa terancang, berkualiti, progresif dan mampan.

"Justeru, kerajaan negeri sentiasa menghargai dan mengiktiraf jabatan atau agensi yang komited meningkatkan mutu kompetensi serta kualiti perkhidmatan bagi melaksanakan projek serta program pembangunan di Melaka dengan jayanya, seperti majlis Majlis Anugerah Pembangunan Negeri Melaka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata semua jabatan dan agensi kerajaan negeri diingatkan agar sentiasa melaksanakan pemantauan secara serius terhadap kemajuan fizikal projek pembangunan yang dilaksanakan supaya mengikut tempoh atau tarikh siap kerja, seperti yang tertera dalam kontrak.

Katanya, semua jabatan dan agensi kerajaan negeri juga perlu menyelidik dan memastikan keperluan sesuatu projek pembangunan mengikut keutamaan dan projek terlibat diteliti dan dianalisis terlebih dahulu dari segi kos projek dan impaknya.

"Di bawah pentadbiran ini, saya tidak mahu projek-projek pembangunan dilaksanakan secara semberono sehingga boleh menjadi projek gajah putih," katanya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri Melaka menjadi pemenang Anugerah Keseluruhan Projek Terbaik Tahun 2024 menerusi pembangunan Sistem Tender Online Melaka 2.0 yang membawa pulang wang RM10,000 berserta piala pusingan dan sijil.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan