AM

DSA: Dron Nano mampu laksana misi risikan tanpa dikesan

31/03/2022 02:20 PM

Oleh Anasathia Jenis

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Bersaiz hanya sebesar tapak tangan, dron nano antara produk baharu industri pertahanan lengkap dengan pelbagai ciri canggih bagi tujuan risikan dan mengesan musuh walaupun pada waktu malam dan di kawasan yang gelap.

Dipasarkan syarikat tempatan Delta Masis (M) Sdn Bhd, dron berkenaan mampu menjalankan fungsi sama seperti dron bersaiz normal selain mengeluarkan bunyi yang senyap.

Pengarah Pembangunan Perniagaan syarikat itu, Masri Muhammad berkata dron berkenaan dilengkapi kamera berdefinisi tinggi yang mempunyai dua fokus laras iaitu siang dan malam selain tidak perlu diterbang dekat dengan subjek kerana ia mempunyai fungsi ‘electronic zooming’.

“Dron berkenaan turut dilengkapi teknologi penghalang isyarat dan mampu terbang selama hampir 30 minit dengan jarak sehinga tiga kilometer pada ketinggian lebih 2,000 meter,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Persidangan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 yang mempamerkan dron berkenaan.

Masri berkata inovasi yang terdapat pada dron terbabit menjadikan ia antara pilihan bagi pasukan keselamatan di dalam dan luar negara yang sememangnya menantikan teknologi seperti ini.

Harga bagi sebuah dron itu menurutnya, boleh mencecah sehingga RM800,000 dan sepanjang pameran berkenaan yang disertai lebih 54 negara berlangsung, banyak pengunjung yang menyatakan minat terhadap alatan itu.

“Kebanyakan unit khas pasukan keselamatan dalam negara menyatakan minat untuk memiliki dron ini kerana mereka banyak melaksanakan misi taktikal yang memerlukan kepakaran teknologi seperti itu,” katanya.

DSA dan NATSEC yang berlangsung selama empat hari sejak Isnin lepas dan akan berakhir hari ini, selain disertai 54 negara, turut disertai lebih 1,000 syarikat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan