BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 SUKAN

Pemangku Raja Perlis Sempurnakan Perasmian Liga Besbol Kebangsaan

09/07/2023 12:55 PM

SERDANG, 9 Julai (Bernama) -- Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Liga Besbol Kebangsaan 2023 di Padang Besbol Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Presiden Persekutuan Besbol Malaysia (PBM) Sazali Husain.

Tuanku Syed Faizuddin dalam ucapannya bertitah penglibatan masyarakat dalam sukan dapat membentuk budaya cara hidup yang sihat dan membantu membina keyakinan dan keterampilan diri seseorang individu. 

"Melalui penglibatan sukan juga, seseorang itu akan didedahkan dengan pelbagai nilai-nilai kehidupan.  Dengan menyertai aktiviti sukan yang melibatkan rakan sepasukan dan pertandingan, kita akan merasai pengalaman menang atau kalah serta belajar untuk bekerjasama dan bertoleransi dalam mencapai suatu misi," titah baginda.

Liga Besbol Kebangsaan 2023 merupakan kali pertama dianjurkan oleh PBM bersama pihak penaja AEON BiG Sdn Bhd, Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN). 

Liga Besbol itu telah bermula pada 10 Jun lepas dan dijalankan selama enam minggu pada setiap Sabtu dan Ahad yang disertai 184 peserta berusia 20 hingga 30 tahun dari lapan negeri iaitu Perlis, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Sementara itu, Hannah menerusi ucapannya berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia komited untuk menyalurkan platform untuk membawa sukan besbol ke peringkat yang lebih membanggakan di tanah air.  

“Penganjuran Kejohanan Liga Besbol Kebangsaan 2023 ini telah membuka peluang kepada atlet-atlet muda menunjukkan bakat mereka dan sekali gus mampu menjadi medan pemilihan atlet bagi mewakili negara ke kejohanan antarabangsa,” katanya. 

Pengarah Urusan AEON BiG Sheikh Farouk Sheikh Mohamed pula berkata penglibatan syarikatnya dalam Liga Besbol sebagai rakan strategik adalah sebagai memberi manfaat kepada komuniti menerusi sukan di negara ini. 

“Objektif (kami) nak beri semula kepada komuniti. Besbol antara sukan yang boleh dibangunkan lagi di Malaysia, sebab tu kami jadi rakan strategik, Liga Besbol Malaysia,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan