AM

‘flying Squad’ Bantu Penduduk Ranau Daftar Padu Hujung Minggu Ini - Dosm Sabah

12/01/2024 07:40 PM

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 12 Jan (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sabah akan menggerakkan flying squadnya ke Ranau, kira-kira 110 km dari sini, bagi membantu penduduk daerah berkenaan mendaftar dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) pada 13 hingga 14 Jan ini.

Pengarahnya Muhammad Amri Idris berkata 10 petugas akan digerakkan ke lapangan bagi memberi kefahaman kepada penduduk setempat mengenai sistem baharu itu, sekali gus memastikan tiada individu tercicir daripada proses pendaftaran PADU di negeri ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus bersama ketua komuniti termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam menjayakan program flying squad di kawasan sasaran.

"Ini merupakan inisiatif untuk menarik penglibatan penduduk luar bandar dan pedalaman. Kita akan bergerak mengikut masa dan kawasan sasaran. Kita berhasrat mendekati penduduk yang berada di kawasan agak sukar untuk mengakses internet," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata DOSM Sabah menyasarkan 2.1 juta penduduk Sabah berumur 18 tahun ke atas mendaftar dengan PADU dalam tempoh tiga bulan ini.

Muhammad Amri berkata sambutan penduduk Sabah terhadap PADU amat memberangsangkan sejak minggu pertama pelaksanaannya berdasarkan maklum balas diterima daripada orang ramai sama ada yang menghubungi DOSM Sabah atau berkunjung ke kaunter disediakan.

Menurutnya, selain kefahaman mengenai kaedah mendaftar PADU, peranti digunakan individu yang tidak dikemas kini juga menjadi antara cabaran untuk memastikan kelancaran proses pendaftaran sistem tersebut.

Bagaimanapun katanya petugas DOSM Sabah sentiasa bersedia memberi penjelasan kepada orang ramai yang ingin mendapat kepastian lebih lanjut mengenai PADU, selain memberi panduan pendaftaran seterusnya menyelesaikan kerumitan dialami ketika mendaftar.

Selain Kota Kinabalu, orang ramai juga boleh membuat rujukan mengenai pelaksanaan PADU di lima pejabat DOSM Sabah iaitu di Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Keningau dan Kota Marudu, katanya.

Muhammad Amri turut menggalakkan penduduk luar bandar dan pedalaman menggunakan kemudahan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh Sabah bagi mengemas kini maklumat dan mendaftar sistem baharu itu.

Pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai bermula 2 Jan lepas hingga 31 Mac ini dengan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan