AM

Budu, Ulam Menu Wajib Makan Besar Keluarga Cina Peranakan Kelantan

10/02/2024 12:45 AM

KOTA BHARU, 9 Feb (Bernama) -- Keluarga Cina Peranakan di Kelantan mempunyai keunikan tersendiri bagi tradisi makan besar sempena Tahun Baharu Cina, antaranya menjadikan budu dan ulam sebagai menu santapan wajib.

Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Dr Johari Yap Abdullah berkata untuk makan besar, keluarga beliau amat memahami isu makanan halal dalam agama Islam. 

Katanya biasanya keluarganya yang bukan Muslim menyediakan lebih 10 hidangan dengan mengutamakan sayur-sayuran, manakala selebihnya hidangan ayam dan ikan.

"Saya memeluk Islam pada 1996, keluarga sangat memahami hukum makanan halal, jadi saya rasa amat rugi kalau tidak dapat bersama.

"Ulam-ulaman dicicah dengan budu, kita perah asam limau, lada burung (cili api) dan hirisan serai atau bawang merah, sudah pasti kecur air liur kami sekeluarga semasa menikmati makan besar setiap tahun," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Pergigian Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata selain itu keluarganya gemar makan cendawan hitam (black fungus) yang dimasak dalam beberapa menu termasuk fucuk dan suhun.

Dr Johari yang tinggal di Kubang Kerian dan berasal dari Kampung Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat berkata setiap tahun keluarga menyerahkan kepadanya bagi menyembelih ayam kampung untuk dijadikan sebagai hidangan utama.

"Sejak memeluk Islam, keluarga saya tahu membezakan menu halal dan sudah pasti masakan ayam kampung rebus istimewa disediakan dari air tangan ibu, Goh Sa Huay, 68," katanya yang turut pulang ke kampung bersama isteri Dr Norsila Abdul Wahab.

Menurutnya makan besar atau 'reunion dinner' sangat memberi makna kepada ahli keluarganya kerana dapat berkumpul terutama bagi yang tinggal berjauhan biarpun berbeza agama.

"Bukan senang untuk bertemu semuanya secara serentak dan pada hari makan besar seperti malam ini, kami dapat bertanya khabar masing-masing, sekali gus mengerat hubungan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan