AM

Rm200,000 Bina Semula Tiga Jambatan Di Tawau Yang Terbakar

09/03/2024 08:34 PM

TAWAU, 9 Mac (Bernama) -- Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan mengeluarkan peruntukan RM200,000 bagi membina semula tiga jambatan kayu yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond, di sini pada Rabu lepas.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan Sabah Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata peruntukan kilat itu penting kerana jambatan tersebut merupakan keperluan asas yang menjadi jalan penghubung bagi rumah di atas air

"Apabila sudah ada jambatan, saya ingat perkara lain akan diusahakan dan menyusul," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan asas kepada mangsa kebakaran di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata pihaknya akan berikhtiar bagi membantu meringankan beban mangsa kebakaran termasuk melibatkan program bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Peruntukan rumah SMJ ini hanya 20 rumah untuk setiap Dewan Undangan Negeri dan itu juga sudah ada pemohon tinggal di bina saja.

"Namun untuk khas (rumah SMJ) saya akan cuba mohon kepada kerajaan negeri pada Isnin ini, kita akan segala mungkin ikhtiar bantu mangsa kebakaran ini," katanya.  

Dalam pada itu beliau berkata lokasi kebakaran tersebut merupakan kawasan yang sudah diwartakan dan mangsa yang kediaman mereka musnah terbakar boleh membina semula rumah di tapak asal.

"Cuma mungkin kita akan bekerjasama dengan pihak perancangan bandar untuk melakar dan lot semula kawasan itu," katanya.

Pada Rabu lepas kira-kira 52 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond menyebabkan lebih 350 mangsa terjejas dan tinggal sehelai sepinggang.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan