HULU SELANGOR, 11 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) selepas calonnya Pang Sock Tao hari ini menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 3,869 undi.
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memperoleh 14,000 undi, menewaskan pencabarnya calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi, calon Bebas Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi).
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yuhanas Auree Kamaruddin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK KKB di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini malam ini.
Keputusan itu juga sekali gus menyaksikan Hafizah dan Nyau hilang deposit selepas gagal meraih undi sekurang-kurangnya satu per lapan daripada jumlah keseluruhan pengundi yang mengundi bagi PRK berkenaan.
Yuhanas Auree turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat pada PRK KKB.
Seramai 40,226 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK tersebut termasuk 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Terdahulu, Pang, 31, yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam hadir ke dewan itu pada 9.44 malam diiringi Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
PRK KKB diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.
Dalam Pilihan Raya Negeri pada Ogos tahun lepas, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti 4,119 undi.
Kemenangan Pang yang mewakili Kerajaan Perpaduan membolehkan DUN KKB terus kekal sebagai kubu kuat PH sejak 2013.
Pang yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) diumumkan sebagai calon pada 24 April lepas, tiga hari sebelum hari penamaan calon PRK berkenaan.
PRK KKB merupakan PRK ketujuh diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial