KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Bukan sekadar suka-suka bermain golf pada hujung minggu, namun 120 peserta yang hampir kesemuanya bergelar Datuk, yang menyertai Kejohanan Golf Amal 2024 di Bukit Kiara di sini, sebenarnya turut mempunyai misi lain iaitu membantu mengumpul dana bagi program Kampung Siaga 221.
Usaha murni menerusi program anjuran Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu adalah untuk memudahkan kelancaran program Kampung Siaga 221 yang bertujuan melatih komuniti bagi kesiapsiagaan menghadapi apa jua jenis bencana.
Presiden MDDM Datuk Awalan Abdul Aziz berkata pihaknya menyasarkan kutipan amal RM100,000 bagi membantu APM melaksanakan program itu di seluruh negara dalam usaha memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku bencana seperti banjir.
“Ketika ini, kita sudah berjaya mengutip RM50,000,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Turut berangkat ke program itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Program turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM Abdul Wahab Rahim berkata usaha dilakukan MDDM itu merupakan bukti jalinan kerjasama erat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi keselamatan dalam aspek pengurusan bencana negara.
“Dalam kitaran pengurusan bencana ini yang penting kita tengok ialah kesiapsiagaan komuniti, sebab itu kita berkolaborasi dengan MDDM dan NGO lain untuk memperkuat kesiapsiagaan menerusi pelbagai program, latihan dan eksesais.
“Menerusi kutipan amal ini kita tidak hanya meletakkan tanggungjawab itu kepada kerajaan semata-mata, tapi NGO dan individu juga boleh bantu bagi sedikit dana, kalau bergantung 100 peratus dengan kerajaan kita tidak dapat buat sekerap dan seluas yang mungkin,” katanya.
APM menubuhkan Kampung Siaga 221 dan menyasarkan setiap negeri mempunyai satu kampung berkenaan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan persiapan awal penduduk dalam menghadapi sebarang bencana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial