KOTA KINABALU, 20 Okt (Bernama) -- Penduduk terutamanya di sekitar bandar raya ini tidak melepaskan peluang membeli pelbagai barangan kering dan barangan basah segar bagi memenuhi keperluan keluarga dalam program jualan murah yang disediakan melalui Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah.
Khemah Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI yang dibuka sejak Jumaat lepas terus menjadi tumpuan orang ramai yang berkunjung ke program ini selama tiga hari yang berakhir hari ini di pekarangan Kompleks Sukan Likas.
Bahagian Jualan Agro MADANI melalui reruai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah yang menjual beras dalam paket 10 kilogram (kg) pada harga RM24 dipenuhi pengunjung yang ingin mendapatkan barang keperluan tersebut kerana menyifatkan harga tersebut lebih murah berbanding di pasaran.
Seorang pesara kerajaan, George Seep, 60, dari Papar berkata beliau membeli sehingga enam kampit beras kerana teruja dengan harga yang ditawarkan sangat berbaloi dan membolehkannya membuat penjimatan perbelanjaan.
"Harga beras yang dijual dalam program ini lebih murah berbanding harga biasa di pasaran. Sangat berbaloi dan saya berharap program seperti ini akan diadakan lagi pada masa akan datang," katanya kepada Bernama.
Suri rumah, Yana Nia, 34, dari Sepanggar juga tidak melepaskan peluang dengan membeli lima kampit beras 10kg untuk kegunaan keluarga bagi tempoh sekurang-kurangnya dua bulan.
Ibu kepada tiga anak itu turut berpendapat bahawa program jualan murah seperti ini sangat membantu rakyat untuk membuat penjimatan terutama dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Sementara itu, Ketua Unit Pengeluaran dan Perniagaan LPP Sabah Azlee Shah Abdullah berkata pihaknya menyediakan sebanyak 20,000 kampit beras paket 10kg untuk dijual kepada pengunjung Program MADANI Rakyat Sayangi Sabah 2024, selain ayam yang dijual pada harga RM8 sekilogram.
"Jualan beras sangat laku dan kami berharap semua kampit beras yang dibawa ke program ini habis dijual. Diharapkan akan ada lagi Jualan Agro MADANI diadakan terutamanya ketika musim perayaan kerana ia banyak membantu rakyat Sabah mendapatkan harga yang lebih murah berbanding biasa," katanya.
Selain LPP Sabah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut menawarkan ikan segar seperti ikan kembung, ikan kerisi dan ikan basung yang dijual pada harga RM7 sekilogram serta beberapa produk perikanan lain termasuk keropok lekor yang diusahakan oleh Persatuan Nelayan Kawasan Tuaran.
Penolong Pengarah Bahagian Pemasaran dan Pelesenan LKIM Muhammad Alif Abd Aziz berkata jualan ikan sangat memberangsangkan apabila lebih daripada 500 kilogram ikan telah terjual sepanjang program tersebut.
"Kami di LKIM berharap akan ada lebih banyak program jualan seperti ini untuk menyokong persatuan nelayan sama ada persatuan nelayan negeri mahupun persatuan nelayan kawasan bagi membantu mereka menjana lebih banyak pendapatan di samping membantu rakyat mendapatkan bekalan ikan pada harga yang berpatutan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial