KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Peningkatan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 berkuat kuasa 1 Feb 2025, dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat dari pelbagai aspek.
Penganalisis Ekonomi Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata perkara yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 itu antara lain membolehkan pekerja menikmati kuasa membeli lebih tinggi seterusnya menyumbang kepada kerancakan ekonomi.
“Kenaikan kadar gaji minimum ke tahap lebih bermaruah ini secara tidak langsung dapat tingkatkan kualiti hidup masyarakat dengan membolehkan mereka membeli makanan berkhasiat, menyewa kediaman lebih selesa dan mampu menyimpan serta melabur,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata ia juga memberi faedah kepada para peniaga kerana rakyat Malaysia yang boleh berbelanja lebih daripada sebelum ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 Jumaat lepas, berkata kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum itu membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan.
Sementara itu, Pakar Kewangan dan Keusahawanan Prof Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata kenaikan kadar gaji minimum itu dapat mengurangkan jurang pendapatan antara golongan berpendapatan rendah dan tinggi sekali gus menggalakkan lebih banyak kesejahteraan sosial.
“Pelaksanaan gaji minimum lebih tinggi merupakan langkah yang baik kerana berpotensi membantu meningkatkan sara hidup rakyat, memperbaiki kuasa beli dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Pekerja juga akan dapat menampung keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pendidikan lebih baik serta meningkatkan kuasa beli rakyat yang seterusnya mendorong permintaan terhadap barang dan perkhidmatan,” katanya.
Ia juga menurutnya, secara tidak langsung dapat mendorong pekerja menjadi lebih produktif, kerana mereka mungkin merasa lebih dihargai dan termotivasi untuk bekerja dengan lebih baik.
Bagaimanapun, beliau yang kini berkhidmat di Universiti Malaysia Kelantan berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mungkin berdepan kesukaran menampung kos gaji lebih tinggi akibat kenaikan kadar gaji berkenaan.
“Dalam hal ini, kerajaan perlu memastikan bahawa terdapat penyelarasan dalam dasar lain, seperti cukai dan insentif, untuk mengimbangi kesan negatif yang mungkin timbul daripada peningkatan gaji minimum.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil, pelaksanaan gaji minimum yang lebih tinggi boleh menjadi risiko jika tidak disertai dengan pertumbuhan ekonomi yang berterusan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial