KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kemungkinan tarif Amerika Syarikat (AS) sehingga 60 peratus ke atas eksport China boleh memberi kesan pelbagai kepada ekonomi ASEAN, mewujudkan peluang pertumbuhan jangka masa sederhana untuk enam negara ASEAN (ASEAN-6) termasuk Malaysia, menurut OCBC.
Berdasarkan andaian tarif AS sebanyak 60 peratus dikenakan ke atas eksport China ke AS dan dilaksanakan serta dikuatkuasakan pada Januari 2025, jika Donald Trump dipilih menjadi Presiden AS -- senario utama atau senario satu -- OCBC menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China boleh susut sehingga satu mata peratusan.
“Berdasarkan keadaan ini, pertumbuhan KDNK blok ASEAN-6 (Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina) secara relatifnya tidak terjejas, malah ekonomi ini boleh terus mendapat manfaat dalam jangka masa sederhana,” jelas OCBC menerusi nota penyelidikan pasaran globalnya pada Rabu.
Bagaimanapun, berdasarkan senario dua dan tiga, OCBC menjangkakan pertumbuhan KDNK ASEAN-6 turun sebanyak 0.7 mata peratusan dan 1.3 mata peratusan, berbanding dengan angka dasar pihaknya.
OCBC mengandaikan senario dua iaitu tarif sebanyak 10 peratus dikenakan ke atas semua rakan dagang AS termasuk kalangan negara ASEAN serta tarif 60 peratus ke atas eksport China ke AS.
Selain itu, senario tiga pula, OCBC mengandaikan tarif 20 peratus dikenakan ke atas rakan dagang AS, bersama-sama dengan tarif 60 peratus ke atas eksport China ke AS.
Menurut OCBC bahagian eksport Malaysia ke AS adalah lebih tinggi berbanding ke China bagi tempoh Januari hingga Ogos 2024.
“Ini menunjukkan peningkatan sentiviti terhadap kemungkinan tarif dari AS,” tambahnya.
Portfolio eksport Malaysia ke AS, kelihatan kecil dengan kebanyakannya tertumpu kepada sektor elektronik dan jentera, menyumbang kira-kira 77 peratus kepada jumlah eksport ke AS, manakala eksport komoditi serta eksport produk beintensifkan buruh masing-masing menyumbang kira-kira lapan dan 7.5 peratus, jelas OCBC.
Menurut OCBC walaupun Malaysia mempunyai asas eksport yang pelbagai dari segi rakan dagang dan produk, pihaknya mengingatkan bahawa pengenaan tarif boleh mengurangkan pertumbuhan KDNK Malaysia sehingga 0.9 mata peratusan jika berlaku senario dua; dan sebanyak 1.5 mata peratusan dalam senario tiga.
“Bagaimanapun, jika berlaku senario utama atau senario satu, OCBC menjangkakan kesan sederhana sebanyak 0.2 mata peratusan ke atas pertumbuhan KDNK Malaysia, terutama disebabkan oleh pengurangan permintaan dari China.
“Tarif yang lebih tinggi ke atas China akan memberi kesan kepada Malaysia ekoran permintaan lembap dari China namun wujud pengimbang yang jelas dari segi peningkatan pelaburan dan pencepatan dasar ‘China +1’,” tambahnya, merujuk kepada strategi perniagaan untuk mengelak daripada melabur hanya di China dan mempelbagaikan perniagaan ke negara lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial