SUKAN

FAM Rehatkan Pengadil, Pengadil VAR Aksi Tertangguh Perak-JDT

15/11/2024 11:20 AM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merehatkan pengadil dan pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) yang ditugaskan pada perlawanan tertangguh Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim Ahad lepas.

Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram berkata Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah membuat analisis berkaitan insiden situasi sepakan penalti pada minit ke-38 dan pergelutan pada minit ke-84 melibatkan pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanapi serta pemain Perak Tommy Mawat Bada.

Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata analisis kedua-dua insiden berkenaan dilakukan berpandukan Undang-Undang Permainan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan mendapati keputusan pengadil perlawanan serta pengadil VAR adalah kurang tepat.

“Sehubungan itu Jawatankuasa Pengadil FAM  mengambil keputusan untuk merehatkan pengadil dan pengadil VAR terbabit sebanyak dua perlawanan daripada sebarang tugas pengadil di Liga Profesional dan Liga Amatur.

“Selain direhatkan untuk dua perlawanan, kedua-dua pengadil berkenaan juga akan dirujuk ke fasa pemulihan dan pemurnian sebelum diberikan tugas pengadil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada aksi di Iskandar Puteri, Johor Ahad lepas itu, perlawanan menjadi ‘panas’ seketika berpunca daripada insiden pergaduhan yang tercetus apabila Tommy Mawat cuba menghalang larian Arif Aiman sebelum kedua-dua pemain gagal mengawal emosi hingga keadaan menjadi tegang.

Ketika rakan sepasukan dan pengadil Razlan Joffri Ali cuba meleraikan pergaduhan, Tommy Mawat dilihat sedang mencekik Arif Aiman sebelum pemain JDT berkenaan pula mengasari lawannya apabila dilihat melepaskan pukulan ke arah kepala.

Tanpa penilaian VAR, kedua-dua pemain hanya dilayangkan kad kuning dan keadaan kembali terkawal hingga wisel penamat yang berkesudahan JDT menang 5-0 ke atas Perak FC.

Dalam pada itu, Sivasundaram berkata FAM memandang berat tentang isu prestasi pengadil termasuk pengadil VAR dan tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan persembahan serta kualiti pengadil, sambil beliau mengingatkan para pemain supaya mengawal emosi di atas padang

Sementara itu Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan sekretariat Agung FAM telah menghantar kertas pertuduhan membabitkan kes pergaduhan Arif Aiman dan Tommy Mawat kepada kelab masing-masing, Rabu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan